Saturday, August 7, 2010

Bantuan untuk anak yatim


Abdul Razak Dawood (empat kiri) menyerahkan kutipan derma hasil sumbangan penduduk Kota Kemuning kepada wakil Institut Taufiq Islami.


SERAMAI 100 orang pelajar Institut Taufiq Islami, Jalan Kebun, Klang yang terdiri daripada anak-anak yatim, mualaf dan anak mualaf telah diraikan dalam satu majlis jamuan minum petang di sebuah hotel terkemuka di Shah Alam, baru-baru ini.

Majlis yang dinamakan 'Hi-Tea Amal Sepetang Bersamamu 2010' anjuran UMNO Cawangan Bandar Kota Kemuning, Bahagian Kota Raja ini bertujuan untuk mengutip derma bagi anak-anak yatim dan fakir miskin.

Menurut Pengerusi program amal ini yang juga Ketua Wanita UMNO Cawangan Bandar Kota Kemuning, Shah Alam, Faridah Osman, ini merupakan kali pertama majlis sedemikian diadakan.

Beliau berkata, memandangkan sambutan dan sokongan yang diterima daripada komuniti masyarakat di Kota Kemuning dan sekitarnya amat menggalakkan, mereka bercadang untuk menjadikan aktiviti ini sebagai aktiviti utama setiap tahun.

''Pihak kami memilih rumah anak yatim yang dinamakan Institut Taufik Islami ini kerana kedudukannya yang berhampiran dengan cawangan kami.

''Pada hari ini seramai 100 orang anak yatim telah ditaja oleh para penyumbang untuk hadir pada majlis hi-tea ini,'' kata Faridah.

Tambahnya, selain itu, hasil daripada jualan meja, pihaknya berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM26,450. Sebanyak RM24,000 akan diserahkan kepada institut tersebut untuk pentadbiran, jamuan berbuka puasa dan pakaian raya pelajar-pelajar manakala bakinya sebanyak RM2,450 diperuntukkan untuk pelajar-pelajar miskin di cawangan Kota Kemuning.

Selesai penyampaian sumbangan, kanak-kanak tersebut telah diambil ukuran badan bagi tempahan pakaian hari raya untuk mereka kelak.

Majlis petang itu turut dihadiri oleh penasihat UMNO Cawangan Bandar Kota Kemuning, Tan Sri Abu Hassan Omar serta diserikan dengan pertunjukan fesyen pengantin oleh Niiz Bridal Gallery, Kota Kemuning, Shah Alam dan pertunjukan muzikal oleh Al Farabi Band.

Sementara itu, salah seorang guru dan warden Institut Taufik Islami yang ditemui, Tuti Hidayu Yunus berkata, institut tersebut mempunyai seramai 130 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan berumur di antara enam tahun hingga 19 tahun.

''Mereka ini terdiri daripada anak-anak yatim, yatim piatu, anak-anak mualaf dan mualaf yang tinggal di negeri Selangor dan mendapat tajaan Majlis Agama Islam Selangor (Mais),'' kata Tuti.

Menurutnya, Institut Taufik Islami telah diasaskan oleh seorang hamba Allah yang mewakafkan tanah miliknya seluas satu ekar bagi dijadikan institut ini.

Tambah Tuti, pelajar-pelajar di institut tersebut menerima pendidikan akademik dan tahfiz.

Empat orang daripadanya telah melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan Islam di Institut Dakwah Islamiah Perkim (Idip) di Kota Bharu, Kelantan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: