![]() |
| RASMI... Siti Nurhaliza diberi penghargaan oleh Rizman (kiri) dan Ruzaini untuk melancarkan koleksi busana Syawal di Istana Bambu, Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini. |
UMUM mengetahui pereka kegemaran Siti ialah Michael Ong yang sudah lebih 10 tahun bekerjasama dengan Siti.
Bukan hanya Michael, tetapi Siti juga pernah menggayakan rekaan beberapa orang pereka terkenal seperti Radzuan Radzwill, Rizalman Ibrahim dan Khoon Hooi.
Tidak terhad kepada pereka ternama dan berpengalaman, Siti tidak lokek memberi peluang kepada pereka baru untuk mencuba mereka pakaiannya untuknya.
Nama-nama seperti Hatta Dolmat dan Zery Zamry semuanya pernah menghasilkan busana yang membaluti tubuh Siti.
Namun, nama pereka Rizman Ruzaini kini sudah menjadi sinonim dengan Siti dan rupa-rupanya sudah tiga tahun mereka bekerja dengan Siti.
Masih lagi segar dalam ingatan Siti bagaimana kegigihan Rizman dan Ruzaini yang benar-benar mahu menghasilkan busana untuk dirinya.
Ketika itu, dua pereka beraspirasi tinggi itu berada dalam tahun akhir di Universiti Teknologi Mara dan peluang itu hadir untuk mereka apabila berjaya mereka busana untuk Siti pada acara Anugerah Industri Muzik 2007.
Salah satu busana rekaan Rizman Ruzaini yang menjadi kegemaran Siti adalah gaun hijau moden yang mempunyai motif tradisional seperti mana yang pernah digayakan pada Anugerah Era 2007.
"Selama tiga tahun bekerja dengan mereka, saya selesa dengan rekaan mereka berdua. Malah, mereka juga tahu apa yang saya selesa dan tidak setiap kali mahu mereka pakaian untuk saya.
"Dalam tempoh yang singkat sahaja, Rizman dan Ruzaini sudah berupaya berdiri setanding dengan pereka fesyen sedia ada. Apatah lagi mereka juga akan ke Paris tidak lama lagi dan untuk itu, saya benar-benar tumpang gembira dengan mereka" puji Siti kepada dua pereka kelahiran Pulau Pinang dan Perak itu.

rekaan selama ini baju siti adalah mereka?cantik
ReplyDelete