Wednesday, August 11, 2010

Baju tampalan batu


Tampalan batu berkilat pada fabrik polos menjadikan rekaan nampak eksklusif.


KREATIVITI mampu menyuntik keindahan pada sesuatu rekaan daripada biasa menjadi luar biasa dan menukar yang murah nampak mewah.

Konsep sama diaplikasi pada rekaan-rekaan pakaian apabila baju-baju polos diperincikan dengan jahitan-jahitan manik, labuci dan batu-batu permata.

Berkunjung ke Mah Fesyen, pengunjung 'dijamu' mata dengan pelbagai rekaan baju kurung daripada fabrik-fabrik mewah sifon, satin, dan sifon jojet dengan hiasan tampalan batu berkilat dan kristal.

Menurut pemiliknya, Halimah Ghani, sempena kedatangan hari raya ini, dia telah pun menyiapkan sebanyak 500 pasang baju kurung sama ada sepasang atau baju kurung polos yang dipadankan dengan kain bercorak serta fabrik dua tona warna.

''Baju yang polos nampak lebih cantik jika ditampal dengan batu berkilat. Sebab itu saya banyak membuat baju kurung sama ada potongan kurung Pahang, pesak gantung dan kurung moden daripada fabrik yang berwarna terang seperti jingga, biru, hitam, merah, merah jambu terang, hijau dan kuning.

"Terdapat juga warna putih yang boleh dipakai ke majlis kenduri atau pernikahan,'' ujar Halimah.

Selain batu berkilat berwarna putih yang ditampal menggunakan seterika tekanan wap, terdapat juga batu berkilat yang berwarna-warni.

Untuk nampak lebih menarik dan eksklusif, kristal berwarna-warni dilekatkan di antara batu berkilat.

Baju kurung bertampal batu kristal ini lebih mudah disiapkan berbanding baju yang dijahit manik kerana jahitan manik lebih rumit dan memerlukan masa lama untuk disiapkan. Batu tampalan ini juga lebih tahan dan boleh dibasuh biasa cuma jangan dimasukkan ke dalam mesin basuh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: