![]() |
| Izzuddin Karso (kiri) dan Aman Abu Samah mengabadikan kenangan di atas pelamin hasil rekaan mereka. |
Pelancaran Peraduan Gerbang Cinta Mega Utusan Musim ke- 2 di Kampung Pengantin, Kuala Lumpur baru-baru ini, tidak mungkin berlangsung dengan penuh gemilang bagai sebuah perkahwinan sebenar tanpa komitmen para penaja.
Gabungan penaja-penaja seperti Kampung Pengantin, Mastar Catering, T & T Boutique, Afidah Khamis Makeups & Stuff, D'Sayang Entertainment, syokkahwin.com, CJ Print, Picture Elements dan Sri Sutra Travel sememangnya menjadi tulang belakang kepada peraduan ini sejak dari awal lagi.
Ini diperkukuhkan lagi dengan kehadiran penaja-penaja baru seperti AVON, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dios Astana Bridal, Precious Moment Collection, Utusan Online dan Preety Peektures.
Namun antara individu paling sibuk pada malam pelancaran itu ialah pemilik Kampung Pengantin, Syed Nahar Syed Hassan yang bertanggungjawab menyediakan juadah kepada tetamu yang hadir pada majlis tersebut.
Antara hidangan yang disediakan pada malam tersebut termasuklah nasi tomato, dalca, serunding dendeng, kuzi Kambing, ayam bersalut mentega, ikan siakap tiga rasa dan juga ayam berempah.
Menurut Syed Nahar, hidangan tersebut adalah antara hidangan yang biasa disediakan pada majlis-majlis persandingan yang diadakan di sini.
''Untuk majlis kali ini, kami menyediakan hidangan untuk 250 jemputan,'' ujarnya ketika ditemui selepas majlis.
Menurutnya untuk menyediakan hidangan tersebut, dia dibantu oleh 11 orang lagi pekerja yang bersama-sama dalam menyiapkan tugasan tersebut.
''Untuk menyiapkan hidangan ini, kami memerlukan lapan gantang nasi dan juga hampir 20 ekor ayam sebagai bahan mentah serta sayur-sayuran lain," katanya.
Katanya, kakitangannya telah memulakan kerja seawal jam 12 tengahari lagi
''Ini semua bagi memastikan majlis ini berjalan dengan jaya dan mengelak kelam kabut di saat akhir,'' katanya.
Sementara itu, pelamin dan hiasan dewan yang tersergam indah pada majlis tersebut adalah hasil kreativiti Izzuddin Karso dan rakan-rakannya dari Precious Moment Collection.
Menurut Izzuddin, hiasan pelamin antara elemen terpenting bagi keseluruhan dekorasi sesuatu majlis perkahwinan.
''Namun mencipta dan mereka hias singgahsana atau pelamin yang unik serta lain daripada yang lain bukan kerja mudah.
''Ia memerlukan idea kreatif dan daya imaginasi tinggi selain kesanggupan untuk berbelanja lebih," jelasnya yang menggunakan konsep kontemporari moden pada pelamin tersebut dengan dihiasi bunga-bunga segar .
Atas dasar ingin mencari kelainan, kebanyakan pelamin rekaan beliau banyak bermain dengan daun-daun dan bunga-bunga segar.
Biarpun terpaksa berbelanja lebih tetapi beliau puas kerana di situlah beliau dapat mengekalkan nilai-nilai eksklusif dalam setiap rekaannya.
Dalam pada itu majlis telah diserikan dengan kehadiran pasangan pengantin olok-olok yang mengenakan persalinan pengantin rekaan Norhayati dari T& T Boutique yang turut menyediakan persalinan untuk gadis pembawa tepak sirih.
'Pengantin' wanita cantik didandan oleh jurusolek, Norhafizah Norham dari Afidah Khamis Makeups & Stuff.
Majlis juga tidak mungkin dapat berjalan lancar tanpa kehadiran Wan DeeJay sebagai juruacara malam itu dengan sistem bunyi disediakan oleh D'Sayang Entertainment.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: