![]() |
| |
NAMA Azie Yahaya diukir atas platform peragaan. Dia mampu memberikan pose-pose menarik dan merbahaya walaupun tidak diminta jurugambar. Semuanya dilakukan secara rela tanpa sebarang tunjuk ajar. Sebenarnya, anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu ini menceburi bidang peragaan sejak tujuh tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, Azie diajar untuk mempamerkan kelainan gaya dan ekspresi wajah setiap kali diberi tugasan.
‘‘Latar belakang model dijadikan ramuan asas setiap kali beraksi di hadapan kamera, sama ada semasa penggambaran dijalankan atau sesi fotografi.
‘‘Saya perlu kelihatan cantik selain memberi fokus terhadap luahan perasaan agar kelihatan menarik. Sebab itu, kalau tidak disuruh oleh jurugambar, saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk menyempurnakan tugasan,’’ akui pelakon drama Kapten Kit ini yang pernah menjayakan puluhan iklan media cetak.
Ironinya, pemilik nama Norazilah Yahaya berdepan dengan bahana atas keberaniannya muncul seksi di depan khalayak.
Aksi menayangkan pangkal dada dan paha disusuli dengan ekspresi wajah menggoda, pasti mengundang rasa kurang selesa sesetengah pihak setiap kali dipaparkan media.
Peribadinya diserang dengan mengaitkan beberapa cerita kurang baik. Satu demi satu tohmahan dan kejian diajukan kepadanya gara-gara pemakaian sebegitu.
‘‘Saya hairan mengapa orang di luar sana mempertikaikan cara pemakaian saya. Terus terang, saya selesa menjadi diri sendiri dan tidak perlu hipokrit.
‘‘Saya sedar ada orang yang menggelar saya artis majalah sedangkan tiada cerita baru yang ditampilkan. Cemuhan ini semakin kerap kedengaran selepas bergelar artis,’’ bicaranya satu persatu.
Bagaimanapun, rungutan atau kecaman itu tidak muncul sekiranya anak sulung dari lima beradik ini beraksi di atas pentas peragaan.
Apa sahaja cara pemakaian meskipun fesyen yang diketengahkan itu pelik atau menjolok mata, tiada pihak yang mahu mempertikaikan.
Masih dalam ingatan bekas pramugari syarikat Malaysian Airline System Bhd. (MAS) dan AirAsia Bhd. (Air Asia) ini apabila ada pihak yang menyebarkan gambar dalam sebuah kelab yang dihidangkan dengan gelas minuman keras, awal tahun lalu.
Lantas pelakon drama bersiri Dea Sofea ini dicop kaki minum sedangkan hakikat sebenar bukan sebegitu. Dia cuma bergambar di meja yang menempatkan kumpulan teman yang menyajikan hidangan tersebut.
‘‘Selepas dari peristiwa itu, saya berhati-hati pada setiap langkah. Bimbang juga sekiranya peristiwa yang sama kembali berulang. Di situ juga saya kenali siapa kawan dan siapa lawan,’’ katanya penuh optimis.
Wanita berusia 28 tahun ini juga berharap karier seninya tidak terganggu dek cerita-cerita yang kurang menyenangkan sebegini.
Apatah lagi sehingga ke hari ini, dia masih belum membuktikan kemampuan membawa watak yang boleh memberi impak kuat terhadap hasil lakonannya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: