Sunday, August 8, 2010

Awal jadi pengarah?


MICHAEL ANG dan Awal Ashaari mengumumkan kemunculan program realiti terbaru, Detik Bersama Handycam berlangsung dalam satu majlis tidak formal yang dihadiri beberapa wakil media di ibu negara, Isnin lalu.


PROGRAM televisyen pencarian penyanyi sudah 'bersepah-sepah', sebutkan sahaja Akademi Fantasia, Mentor, One In A Million, Bintang RTM, Rentak Juara, MyStarz LG, Gangstarz dan Idola Kecil, semua format program berkenaan sudah masak di fikiran ramai.

Terbaru muncul pula Keynote yang mencari komposer muda dan Imam Muda, satu konsep pencarian ikon baru yang menepati syariat Islam.

Ternyata Imam Muda menyentuh nurani ramai dan musim pertama program berkenaan berjaya menemukan Malaysia dengan seorang lelaki muda yang selayaknya dijadikan imam.

Di sebalik kilauan popular bintang serta kejayaan sesebuah siri program televisyen, drama atau filem itu, sedarkah kita bahawa semua itu bergerak daripada susun atur idea daripada seorang individu belakang tabir yang bergelar pengarah atau penerbit?

Ketika kebanyakan pihak galak mencari wajah depan tabir untuk dijadikan penghias industri, pengarah serta penerbit daripada Box Lite Film Sdn. Bhd., Michael Ang muncul dengan realiti TV terbaru bertujuan mencungkil bakat pengarah generasi baru untuk diketengahkan ke bidang penerbitan arus perdana.

"Program itu adalah inspirasi sepenuhnya daripada pihak Sony dan Malaysia menjadi negara kedua yang akan muncul dengan program berkenaan selepas ia mendapat sambutan di China.

"Ia akan berbentuk seperti program Amazing Race, setiap peserta akan diberikan tajuk, sejumlah bajet serta sebuah kamera handycam Sony sebagai permulaan untuk tugasan yang diberi," jelas Michael.

Program Detik Bersama Handycam yang mendapat tajaan sepenuhnya daripada Sony Malaysia itu mencari enam pengarah berbakat berusia 18 tahun ke atas.

Enam pengarah berkenaan akan mengembara ke beberapa negeri seperti Negeri Sembilan, Johor dan Melaka sepanjang menyiapkan tugasan videografi.

Tidak seperti Amazing Race atau program realiti lain, Detik Bersama Handycam tiada penyingkiran mingguan sebaliknya akan dinilai secara mingguan oleh penonton setempat, bukan undian SMS daripada penonton di rumah.

"Uniknya, pihak produksi akan membina wayang pacak di setiap destinasi. Selepas tugasan diselesaikan, rakaman peserta yang berjaya disiapkan dalam tempoh lapan jam akan ditayangkan kepada penduduk setempat untuk diberikan pemarkahan.

"Setiap minggu akan ada pengarah profesional dijemput memberikan kritikan tetapi bukan sebagai juri," beritahu Michael lagi.

Bukan peserta sahaja, program yang dijadualkan siarannya pada 16 Oktober di Astro Ria itu turut menguji sejauh mana kemampuan dan kreativiti Awal Ashaari yang bertindak selaku hos program.

Dipilih kerana memiliki aura ceria yang mampu menghidupkan kembara dan kelasakan program, Awal juga akan diberikan tugasan sebagai pengarah tugasan.


AWAL ASHAARI menerima lamaran menjadi salah seorang pengarah video di samping menjalankan tugas sebagai pengacara menerusi Detik Bersama Handycam dengan penuh rasa teruja.


"Saya biasa membuat rakaman video tetapi inilah kali pertama rakaman saya akan ditayangkan di televisyen.

"Saya teruja dan tidak sabar sebab tugasan saya juga akan dinilaikan tetapi bukan untuk pertandingan," jelas Awal.

Tambah Michael, Awal akan ditugaskan merakamkan lokasi menarik sepanjang kembaranya setiap minggu.

Tujuannya adalah untuk menonjol dan mempromosikan destinasi menarik di setiap negeri yang dikunjungi.

Dua peserta terbaik Detik Bersama Handycam akan berpeluang menjayakan tugasan di luar negara iaitu New Zealand dan Turki.

Pengarah terbaik siri ini akan menerima hadiah keseluruhan berjumlah RM60,000. Untuk menyertainya, pengarah amatur di seluruh negara boleh menghantar rakaman video yang tidak melebihi dua minit kepada pihak penerbit.

Penyertaan boleh dibuat dengan melayari www.murai.com.my/sonyhandycam/contest untuk kiriman video atau maklumat lanjut. Tarikh tutup penyertaan adalah 20 Ogos 2010.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: