Saturday, August 7, 2010

Aura pesona Nawal


GOLONGAN cilik tidak terkecuali meminati Nawal.


OKEY. Thank You. I Love You. Tiga ayat ini sahaja yang kerap dilontarkan oleh penyanyi popular Lebanon, Nawal Al-Zoghbi ketika mengadakan konsert Nawal Al-Zoghbi Live In Malaysia 2010 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Isnin lalu.

Namun, batasannya yang kurang fasih berbahasa Inggeris langsung tidak menyukarkan dirinya untuk berkomunikasi serta menghiburkan lebih 3,000 para penonton yang kebanyakannya terdiri daripada golongan Arab.

Di bawah penganjuran Jojo Events Sdn. Bhd., persembahan penyanyi berusia 38 tahun itu begitu menghiburkan walaupun bahasanya agak sukar difahami bagi penonton berbangsa lain.

Diiringi sebanyak 13 pemuzik profesional yang dibawa khas daripada Lebanon, Nawal membawakan lagu-lagu popularnya seperti El Layali serta 20 buah lagu lain sepanjang 90 minit persembahan berlangsung.

Apa yang menarik tentang penyanyi jelita ini, dia menyanyikan lagu-lagu popularnya berdasarkan permintaan para penonton dan cara itu membuatkan para penonton yang hadir begitu teruja dengan persembahannya.

Malah, jika melihatkan gelagat-gelagat penonton mereka sungguh terhibur sehinggakan tidak kira sama ada wanita berpurdah, lelaki berjubah serta berserban mahupun golongan wanita tua, mereka menari sakan mengikut rentak lagu nyanyi penyanyi tersebut.

Pada sidang akhbar sebelum persembahan konsertnya, Nawal berkata, konsert yang diadakan itu merupakan salah satu cara untuk bertemu dengan para peminatnya di Malaysia.

Apa yang memberi tarikan kepada Nawal untuk ke negara ini, dia kagum dengan masyarakat Malaysia yang menerima muzik Arab dengan baik walaupun tidak semua yang memahami bahasa berkenaan.

“Sebelum ini, saya difahamkan, Malaysia merupakan negara yang indah serta memiliki masyarakat yang majmuk.

“Walaupun tidak faham bahasa Arab, mereka tetap melayan lagu-lagu Arab memandangkan irama World Music semakin mendapat perhatian ramai,” katanya selepas sidang media di Hotel Concorde sebelum acara konsert bermula.

Tambahnya, apa yang membuatkan dia teruja untuk mengadakan konsert adalah kerana dia turut berpeluang memberi sumbangan kepada rumah kebajikan Nur Salam sebanyak RM30,000, hasil beberapa peratus yang diambil daripada perolehan terkumpul kutipan tiket.

Biasa dengan kerja-kerja amal di tanah airnya, Nawal lebih selesa merendah diri dalam hal-hal mengenai sumbangan yang sering diberikannya terhadap golongan susah di negaranya itu.

“Saya memang suka membuat kerja amal. Selagi saya mampu, saya akan bantu golongan yang susah.

“Bagaimanapun, saya lebih selesa jika sumbangan saya itu tidak digembar-gemburkan kepada umum. Kebetulan pula, sebahagian jualan tiket konsert saya ini turut disumbangkan ke rumah Nur Salam dan ia adalah satu perkara yang mulia,” tuturnya.

Pada malam konsert tersebut, Faizal Tahir dipilih menjadi penyanyi undangan dan seperti biasa, Faizal memukau penonton dengan dua buah lagunya iaitu Selamat Malam Sayang dan Bencinta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: