Sunday, August 8, 2010

Artis popular meriahkan konsert di Bera


ORANG ramai yang menyaksikan Konsert Keamanan Pancaindera sempena Fiesta Bera 2010 di padang MDB, Bera malam tadi.


BERA – Lebih 50,000 orang membanjiri padang Majlis Daerah Bera (MDB) di sini semalam bagi menyaksikan kehangatan Konsert Keamanan Pancaindera sempena Fiesta Bera 2010.

Walaupun konsert hanya bermula pada pukul 9.30 malam orang ramai sudah membanjiri tapak fiesta seawal pukul 8 malam untuk menyaksikan sendiri artis-artis kesayangan mereka membuat persembahan selain mengunjungi gerai-gerai pameran.

Lebih menarik lagi, konsert itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera.

Konsert dimulakan dengan persembahan kumpulan Rhythm of Borneo yang merupakan pemenang pingat emas pada World Championship of Performing Arts di Los Angeles, Amerika Syarikat bulan lalu.

Dua artis popular iaitu Roslan Shah dan Amyza Adnan bertindak sebagai pengacara konsert.

Artis-artis lain yang menghiburkan pengunjung ialah Hattan, Fazli Zainal, Alyah, Razali Hussin, Dafi, Zzati dan Sabhi Saddi.

Konsert Keamanan Pancaindera tiba ke kemuncaknya apabila kesemua artis menyanyikan lagu patriotik bertajuk Warisan yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: