
SEBULAN menyambut Festival Muzik KL 2010 yang bermula dari 1 Julai lalu, pelbagai platform telah disediakan kepada para pemuzik dan penyanyi bagi mempersembahkan karya terbaik mereka. Festival anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan juga mengambil peluang untuk menghidupkan semula lagu-lagu Allahyarham Sudirman Haji Arshad.
Konsert itu, Dir...Suara 1 Malaysia yang berlangsung di KL Live Hall, Life Centre bulan lalu dijayakan oleh Koir Kebangsaan dengan kehadiran hampir 800 penonton. Menariknya, kesemua lagu yang disampaikan malam itu telah digubah bagi memberikan hasil lebih kontemporari.
"Sejak Koir Kebangsaan ditubuhkan pada tahun 1992, ahlinya sudah terlibat dalam banyak persembahan nyanyian serta tarian tradisional. Namun, melihat kesesuaian konsert ini, kami membuat keputusan untuk menggubah lagunya kepada konsep pop muzikal," kata jurulatih vokal serta Pengarah Artistik dan Vokal konsert itu, Syafinaz Selamat.
Melibatkan 22 penyanyi koir dengan diiringi tujuh pemuzik profesional, antara lagu yang disampaikan termasuk Seruling Bambu, Basikal Tua, Mat Disco, Pelangi Petang, Hujan, Planet Gringragong. Toyol, Joget Kenangan Manis, Kulit, One Thousand Million Smiles, Salam Terakhir, Antara Hujan dan Airmata, Terasing dan Bercanda Di Pasiran Pantai.
Daripada seleksi lagu yang dipilih, bukan semua lagu yang disampaikan merupakan lagu popular Sudirman. Bagi Koir Kebangsaan yang sudah memulakan latihan sejak Mei lalu, ada sebabnya mengapa lagu-lagu tersebut menjadi pilihan.
"Kami mahu memilih sekurang-kurangnya satu lagu daripada setiap album Sudirman. Adalah tidak adil untuk hanya menyampaikan lagu-lagu popular Sudirman dan melupakan lagu-lagu yang jarang diputarkan. Lagipun Sudirman memiliki album Inggeris dan kami tidak mahu melupakan lagu-lagu itu," tambah Syafinaz.
Hadir sama pada konsert yang berlangsung selama dua jam itu ialah Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang dan Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Norliza Rofli.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: