Saturday, August 7, 2010

Air mata Fauziah Latif


ADA sebab tertentu di sebalik tangisan Jee ini.


LEWAT kebelakangan ini, wajah manis Fauziah Latiff lebih sinonim di kaca televisyen menerusi lakonannya dalam Gelora Di Hati Sara 2. Namun, sesekali dia masih juga memenuhi undangan pentas menghiburkan khalayak yang merindui lemak merdu suaranya mengalunkan lagu-lagu puitis.

Menariknya, rindu para peminat terhadap penyanyi itu muncul dalam Konsert Kemuncak Suria FM 2010 yang berlangsung baru-baru ini. Mendendangkan dua buah lagu iaitu Menjauhkan Diri dan Dia, nyata penyanyi berusia 39 tahun itu masih mempunyai aura tersendiri.

Beritahu Fauziah atau lebih selesa disapa Jee yang ditemui selepas persembahan di belakang pentas, dia begitu teruja kerana dapat melepaskan rindu terhadap peminat-peminatnya.

Malah, Jee yang sudah lebih dari lima tahun tidak mengadakan persembahan pentas secara terbuka mengambil peluang yang ada untuk bermesra dengan para peminatnya.

Ketika menemu bual penyanyi yang kini mula berjinak sebagai pelakon itu, dia agak sebak apabila menerima jambangan bunga daripada peminatnya.

Tidak dapat menahan air mata daripada mengalir, sambil mengesat air matanya, Jee berkata dia begitu terharu melihat masih ada lagi peminat yang menyokongnya.

Tangisannya itu turut disebabkan kerana Jee terlalu rindu untuk membuat persembahan pentas secara langsung.

“Masa menyanyi, perasaan teruja saya untuk menghiburkan peminat begitu membuak-buak. Walaupun saya sudah meletakkan titik noktah dalam nyanyian, hati saya sebenarnya masih lagi rindukan pentas nyanyian.

“Jujurnya, bila nyanyi di konsert sebegini, saya rasa begitu dekat dengan peminat. Tapi zaman itu semua sudah berlalu dan saya sudah pun memiliki tapak yang tersendiri. Cukuplah zaman kesibukan yang saya lalui.

“Kini, saya lebih banyak menghabiskan masa dengan diri sendiri serta anak-anak. Saya banyak melakukan aktiviti sukan serta lasak dan ia merupakan aktiviti yang tertangguh ketika saya sibuk dengan kerjaya nyanyian.

“Menyanyi pada konsert ini juga disebabkan mereka meminta saya membawakan lagu-lagu lama saya dan ia sudah semestinya tidak akan saya buat selalu,” luahnya yang tetap menerima undangan nyanyian bagi majlis-majlis korporat.

Tambah Fauziah, walau bagaimanapun, jika diberi peluang, dia ingin mengadakan sebuah konsert khas dalam jangka masa dua hingga tiga tahun lagi.

Sementara itu, tirai konsert dibuka dengan kemunculan 10 buah motosikal berkuasa tinggi daripada skuad WBS Can AM Spyder & One Nation Event bersama para penyampai radio iaitu Halim, Linda Onn, Zizie, Tuah, Zaff, Amirah dan DJ Lyn ke pentas, konsert tersebut ternyata menonjolkan kelainan yang tersendiri terhadap lebih daripada 30,000 penonton yang hadir.

Antara penyanyi yang turut menjayakan konsert itu adalah Jamal Abdilla, One Nation Emcees, Anuar Zain, XPDC, Hattan, Slam, Fauziah Latif. Alyah dan Black. Secara total, gabungan seramai 19 penyanyi lama dan baru telah menghidupkan acara konsert itu sejak pukul 3 petang.

Reputasi Linda, Halim

Mungkin akan ada sesetengah pihak yang tidak berpuas hati apabila Halim dan Linda dijadikan sasaran oleh Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Azrullah Md. Nor, untuk meningkatkan rating pendengar.

Bagaimanapun Azrullah mempunyai alasan yang tersendiri dan berpendapat Halim dan Linda memiliki reputasi yang tersendiri dan ia dapat memudahkan kedua-dua penyampai radio tersebut menarik peminat-peminat masing-masing ke Suria FM dan pada masa yang sama juga dapat menarik perhatian pendengar-pendengar baru.

“Ya, saya akui Suria FM bergantung pada Halim dan Linda tapi mereka bukannya anak emas kami. Saya pernah bekerja dengan mereka dan ini memudahkan kami merancang untuk meningkatkan rating pendengar kami.

“Lagipun kami membuat perancangan secara berperingkat. Buat masa ini, kami akan fokus kepada kedua-dua mereka. Kemudian, setelah sasaran dicapai, kami akan memberi fokus pada penyampai lain pula.

“Alhamdulillah, peningkatan kedudukan radio kami disebabkan sokongan dan kesetiaan para pendengar. Pihak kami meletakkan sasaran selama dua tahun untuk menjadi radio nombor satu negara dan ini bukanlah angan-angan kosong.

“Selain memperkuatkan barisan penyampai, pihak kami akan memberi fokus pada pengisian program agar lebih berkualiti. Begitu juga dari segi aspek publisiti, kami akan ubah secara berperingkat.

“Saya percaya melalui pengisian program dan penyampai, ia mampu menarik lebih banyak pendengar serta mengekalkan pendengar yang ada. Setakat ini, pendengar kami telah pun mencecah 1.7 juta orang dan kami akan cuba meningkatkan lagi jumlah pendengar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: