Saturday, August 7, 2010

ADN Peugeot Citroen pusat seni reka canggih


Lampu kabus dan skirting pada bamper depan juga menjadi ciri baru Exora.


TERLETAK di Velizy, kira-kira sejam perjalanan dari Paris, bangunan ADN atau Automotive Design Network (ADN) milik PSA Peugeot Citroen agak terlindung daripada lebuh raya.

Malah, untuk pengunjung kali pertama, bangunan ADN dirasakan kecil. Namun, setelah menjejak kaki di dalamnya, barulah dapat dilihat bahawa ia sebuah kompleks yang luas.

Secara keseluruhannya ia meliputi kawasan seluas 70,000 meter persegi yang boleh menempatkan 1,100 orang yang mana 900 orang daripadanya adalah kakitangan tetap yang berasal dari lebih 20 negara.

Dibina pada kos 130 juta euro, kompleks ADN ini merangkumi bahagian untuk kajian dan reka bentuk (pasukan projek inovasi) dan penciptaan (studio penggayaan) dan menghasilkan prototaip (mesin, mengecat dan bengkel memasang dan sebagainya). Ia dibuka secara rasmi pada 7 Oktober 2004.

Namun kehebatannya bukan terletak pada kompleks bangunan. Sebaliknya, kehebatan tersebut terletak di dalam. Pusat ini berfungsi sebagai 'tapak semaian genetik' bagi kereta-kereta Peugeot dan Citroen.

Menerusi Nasim Sdn. Bhd. sebagai pemegang francais kenderaan Peugeot di Malaysia, rombongan wartawan Malaysia mencatat sejarah tersendiri sebagai wakil media pertama dari Asia yang 'dibenarkan' melawat ADN di Paris.

Ia diadakan sempena pelancaran global untuk kereta sports terbaru Peugeot iaitu RZC yang sebelum itu diadakan di Elciago, selatan Sepanyol.

''Tiada kamera, telefon yang ada kamera dibenarkan,'' kata pegawai yang menyambut kami di pintu masuk. Walaupun begitu, mereka cukup bersopan dengan tidak mewajibkan kami menyerahkan kamera dan telefon di bilik pengawal. Memadai peringatan. Tetapi bila ke bilik air, seorang pengawal akan menemani sehingga di luar tandas. Ini bagi memastikan tiada sesiapa 'melencong' ke bahagian lain.

Bilik pertama yang kami dibawa melawat (menggunakan lif untuk turun ke tingkat bawah tanah) ialah Pusat Realiti Maya iaitu bilik penyelidikan serba canggih jurutera Peugeot menggunakan paparan 3 Dimensi (3D).

Kami dibenarkan mencuba alat tersebut iaitu memakai sejenis topi seperti juruterbang jet dan terpampang gambar 3D iaitu panel pemuka. Kerusi merupakan yang sama seperti di dalam kereta. Maka ia memberi gambaran seolah-olah anda benar-benar di dalam kereta. Data yang diambil ialah memastikan ukuran tangan kemudi roda dan paras tingkap, misalnya sesuai dengan standard.

Di sini, perincian yang tepat dapat dihasilkan sebelum sesebuah model kereta direka menggunakan model tanah liat. Terdapat peralatan simulasi 3D seperti Holobench, paparan Skala 1 dan sistem Gua.

Satu lagi paparan menunjukkan sudut-sudut paling sulit dalam komponen kerangka badan. Ia bagi memastikan semasa pembuatannya, semua jenis peralatan memasang dapat mencapai sudut tersebut.

Kemudian kami di bawah ke tingkat atas. Luasnya adalah kecil sedikit daripada pasang futsal dengan bumbungnya berkubah dan memiliki sistem pencahayaan yang boleh memberi bentuk cahaya yang diingini ke atas kereta.

Di tengah-tengah dewan terdapat Peugeot 408. Di sini, pereka kereta Ivo Groen memberi penerangan sejelas-jelasnya mengenai aspek pembuatan kereta. Rupa-rupanya model tersebut (yang kami buka pintu dan duduk di dalamnya) adalah model sebenar yang baru saja dipersembahkan untuk penilaian peneraju Peugeot.

Betapa industri automotif di Perancis ini begitu maju dan wajar menjadi panduan berguna kepada industri automotif tempatan di Malaysia.

Sudah sampai masanya untuk lebih ramai anak Malaysia menceburi bidang kejuruteraan automotif dan meraih pengalaman daripada Peugeot menerusi ADN seumpama ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: