
JAKARTA - Unit antipengganas Indonesia telah menangkap seorang ulama radikal Islam, Abu Bakar Bashir atas tuduhan mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda dan merancang pembunuhan berprofil tinggi mirip serangan di Mumbai yang menyasarkan warga asing di Jakarta.
Semasa ditangkap, Abu Bakar yang pernah ditahan sebanyak dua kali sebelum ini dan dipenjarakan selama dua setengah tahun sedang dalam perjalanan ke rumahnya selepas menyampaikan ceramah di Solo.
Menurut anaknya, Abdul Rohim, sepasukan polis menyerbu, mengepung dan memecahkan tingkap belakang van apabila pengawal-pengawal peribadinya cuba bertindak.
"Amerika Syarikat (AS) adalah dalang semua ini. Penahanan ini satu rahmat," jerit Abu Bakar yang memakai sehelai jubah berwarna putih.
Abu Bakar yang berusia 71 tahun dikenali sebagai salah seorang pengasas dan ketua kumpulan Jemaah Islamiyah.
Kumpulan itu dikatakan mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda dan bertanggungjawab ke atas beberapa siri serangan bom berani mati, termasuk insiden di Bali pada tahun 2002 yang membunuh 202 mangsa, kebanyakannya pelancong dari Barat.
Jurucakap polis, Mejar Jeneral Edward Aritonang memberitahu pihak berkuasa mempunyai bukti bahawa Abu Bakar bukan sahaja memberi inspirasi kepada militan dengan retorik anti-Barat tetapi terlibat secara langsung dalam merancang serangan.
Abu Bakar dituduh menyediakan dana untuk sel pengganas baru di wilayah Aceh dan memainkan peranan aktif dalam menyediakan rancangan untuk perjuangan ketenteraan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: