TIDAK terlintas di hati untuk menggunakan status ibu saudaranya, Salwa Abdul Rahman sebagai batu loncatan menceburi bidang hiburan.
Katanya, dia tidak mahu dibayangi oleh status ibu saudara, sebaliknya yakin dengan kemampuan diri dan mahu orang mengenalinya dengan namanya sendiri.
"Pasti ramai akan mempertikaikan kemampuan dan meragui kredibiliti saya jika menggunakan jalan mudah untuk menceburi bidang ini.
"Tambahan pula minat saya berbeza dengan bidang nyanyian yang diceburi ibu saudara saya kerana saya lebih tertarik dengan bidang lakonan," katanya.
Pelajar tahun akhir Diploma Teater, Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini mula meminati bidang lakonan sejak di bangku sekolah dan ketika itu dia banyak terbabit dalam pementasan teater.
Katanya, dia sememangnya meletakkan sasaran untuk pergi jauh dalam bidang lakonan tetapi dalam masa sama enggan menjadi artis yang tidak berilmu.
"Atas sokongan keluarga, saya mengambil keputusan memasuki Aswara kerana yakin bakat saya dapat digilap di sini.
"Di sini saya banyak belajar mengenai seni lakonan dan baru saya sedar, untuk menjadi pelakon minat saja tidak cukup, sebaliknya perlu digabungkan dengan komitmen dan disiplin," katanya.
Biarpun belum menceburi bidang hiburan sepenuhnya, anak muda ini bertuah kerana diberi peluang menjadi pelakon tambahan dalam filem Awan Dania The Movie arahan pengarah terkenal, Rashid Sibir.
Katanya, walaupun hanya membawa watak tambahan, baginya ia peluang keemasan dan menjadi platform untuk mengembangkan bakat.
Abdul Rahman berkata, sehingga kini dia berlakon dalam beberapa drama dan telemovie arahan pengarah terkenal, antaranya Opie Zami dan Rashidi Ishak.
Malah di Aswara, dia berlakon dalam lebih 15 pementasan teater dan hampir semuanya dia diberi kepercayaan membawa watak utama.
"Apabila diberi watak utama, tanggungjawab yang saya pikul berat kerana pelakon utama pasti diberi lebih perhatian oleh audiens.
"Setiap kali diberi satu watak, saya melakukan kajian supaya lakonan saya bersesuaian dan mengikut kehendak pengarah," katanya.
Tambahnya, dia mampu membawa dengan baik apa jua watak yang diberi, walaupun sesetengah watak memerlukan sisi lakonan berbeza.
"Bukan mahu mendabik dada, tetapi lakonan saya jarang mendapat kritikan negatif daripada pengarah, malah mereka berpuas hati dengan lakonan saya.
"Jika diberi peluang, saya mahu membawa watak sebagai orang gila kerana bagi saya watak itu sungguh mencabar," katanya.
Bakal menamatkan pengajian pada Jun tahun depan, dia mahu terus melebarkan sayap dalam bidang lakonan dan dia bersyukur hasratnya mendapat sokongan pensyarah.
>PROFIL
NAMA: Abdul Rahman Nassim
UMUR: 21 tahun
ASAL: Johor Bahru
KELUARGA: Bongsu daripada dua beradik
PENDIDIKAN: Pelajar tahun akhir Diploma Teater, Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara)
PENCAPAIAN: Berlakon dalam drama Belalang, Kembar Kecoh, Suratan Takdir dan filem Awan Dania The Movie serta lebih 15 teater di Aswara
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: