Monday, August 9, 2010

200,000 bekas askar belum daftar PBTM

IPOH 8 Ogos - Lebih 200,000 bekas anggota tentera di seluruh negara yang masih belum mendaftar sebagai ahli persatuan diminta segera berbuat demikian bagi membolehkan mereka menerima faedah sebaik sahaja Akta Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaksanakan.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abd. Ghani berkata, sehingga kini, sambutan yang diterima daripada golongan tersebut untuk mendaftar sebagai ahli agak mendukacitakan.

"Mereka sepatutnya tampil dan merebut peluang yang ada kerana usaha ini untuk kebaikan dan masa depan bekas tentera sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan PBTM Perak Ke-23 dan Pelancaran Kempen Kutipan Rayuan Hari Pahlawan peringkat negeri di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari, mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang sedang mengerjakan umrah.

Menurut Muhammad, hanya 149,000 daripada 458,000 bekas tentera telah mendaftar sebagai ahli persatuan setakat ini manakala dianggarkan kira-kira 100,000 lagi telah meninggal dunia.

Katanya, kebanyakan yang belum mendaftar sebagai ahli dikhuatiri tidak dapat menikmati kemudahan ditawarkan mengikut akta baru itu.

Jelas beliau, antara yang diperjuangkan PBTM termasuklah mendapatkan pencen untuk pesara tentera yang berkhidmat lebih 10 tahun dan menaikkan kadar pencen pesara yang berkhidmat selama 21 tahun.

Sementara itu, Muhammad memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan perhimpunan raksasa membabitkan 15,000 ahli PBTM di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 10 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: