![]() |
| |
MENGINTAI rumah bujang milik pereka fesyen yang sedang meningkat naik, Ezuwan Ismail pasti memberi kedamaian. Sentuhan oriental lahir menerusi ideanya sendiri. Cintakan warna coklat dan krim, Ezuwan mengimpikan sebuah kediaman yang tenang dan indah.
Bersesuaian dengan kehidupan bujang, rumah berkonsep sederhana lebih mudah diurus. Walaupun kediaman pangsapuri bersaiz kecil, Ezuwan bijak menyusun atur agar setiap ruang kelihatan rapi dan kemas.
Gabungan dua warna semula jadi mewujudkan suasana tenang.
Sofa sudut menjadi pilihan untuk ruang tamu yang terhad. Terdapat hiasan patung kuda daripada kayu dan lilin pada meja di tengah-tengah ruang untuk mewujudkan suasana oriental. Tidak ketinggalan, lampu bertiangkan bonsai melengkapkan ruang berehat dan menonton.
Jika anda tidak berani menggunakan warna gelap seperti coklat untuk tirai pemisah atau langsir, mungkin ilham dekorasi ini mengubah cita rasa anda. Masih kekal cantik, warna tersebut menjadikan ruang lebih eksklusif.
Di ruang meja makan, Ezuwan memilih saiz meja dan kerusi yang sederhana. Tinggal berdua dengan teman, dia lebih selesa memilih saiz perabot yang kecil tetapi fleksibel.
Selain dijadikan ruang makan, Ezuwan selesa berbincang dengan pelanggan di ruang itu. Kebetulan terdapat tempat menggantung pakaian contoh di tepi meja tersebut.
Di tepi dinding, kelihatan susunan almari buku penuh dengan pelbagai bahan bacaan.
Selain menghabiskan masa membaca, sedikit sebanyak koleksi majalah dijadikan rujukan dan ilham.
Mengimbau kembali masa dia mula-mula mempelajari tentang jahitan, mesin jahit lama pemberian ibu saudaranya turut menghias ruangan itu.
Pasu yang dihiasi tumbuhan hijau serta lilin menjadikan sudut itu kelihatan sangat menarik.
Seperti penggemar dekorasi lain, Ezuwan turut menggunakan cermin untuk membesarkan ruang rumah. Cermin dengan bentuk berliku-liku kelihatan moden di samping perabot antik diperbuat daripada kayu.
Walaupun laluan dari pintu depan ke ruang tengah agak terhad dan sempit, Ezuwan bijak menyusun meja tepi dengan kemas.
Gemar memilih tumbuhan hijau, ia tampil serasi dengan pilihan warna rumah ini.
Hiasan dinding dipilih mengikut kesesuaian ruang untuk memberi ketenangan.
Pilihan kalimah Allah, ukiran kraftangan dan bingkai gambar disusun rapi pada dinding terpilih.
Mengakui biar pun berbelanja besar untuk menghias rumah namun Ezuwan berasa puas. Baginya, tidak salah kerana rumah adalah tempat berehat ketika dia mempunyai masa lapang dan mencari ilham mereka baju.
Baru sahaja lapan bulan bergerak sendiri sebagai pereka, Ezuwan bercadang berpindah ke rumah teres yang lebih selesa dan luas.
Walaupun belum berpindah ke rumah impiannya, dia mula bercadang menghasilkan dekorasi yang lebih indah.
Melihat minat dan kesungguhan Ezuwan, siapa kata lelaki bujang tidak boleh menghias rumah. Jika bijak menyusun perabot dan memilih tema, rumah pasti selesa dan cantik.
Selain mereka pakaian koktel, pakaian malam dan pengantin sedia pakai, Ezuwan turut menerima tempahan termasuk kasut, beg tangan dan aksesori.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: