Monday, July 12, 2010

Kediaman servis bertaraf emas


Gaya mewah di salah satu bilik di kediaman servis Fraser Place.


TERSERGAM indah di lokasi segi tiga emas di Jalan Perak, Kuala Lumpur, Fraser Place Kuala Lumpur (FPKL), satu-satunya kediaman servis bertaraf emas dibuka secara rasmi baru-baru ini.

Kedudukannya yang strategik di nadi ibu kota dan hampir dengan Menara Berkembar Petronas, Suria KLCC, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Pusat Membeli-belah Pavilion dan Jalan Bukit Bintang, FPKL merupakan sebuah projek mewah oleh pengendali kediaman servis antarabangsa yang terkenal, iaitu Frasers Hospitality Pte Ltd (Fraser).

Hari ini, Fraser diiktiraf sebagai di antara tiga buah syarikat global terkenal bagi kediaman servis.

Setinggi 30 tingkat, FPKL mempunyai sebanyak 215 bilik yang mempunyai satu atau dua bilik tidur suite, studio dan penthouse mewah. Dengan kata lain, FPKL merupakan lambang kehidupan kosmopolitan.

Setiap unit yang dilengkapi dengan perabot turut disediakan dengan ruang tamu, ruang makan, bilik tidur, dapur serba lengkap dan ruang peribadi. Setiap unit juga disediakan kad kunci akses elektronik 24 jam, Internet tanpa wayar dan sistem hiburan komprehensif.

Pendek kata segala-gala yang diingini ada di sekeliling FPKL seperti restoran yang menyediakan pelbagai jenis makanan, hiburan tanpa henti, gedung membeli-belah dan keindahan kota raya, semuanya berada pada kedudukan yang begitu hampir sekali.

FPKL bukanlah blok apartmen yang kaku tetapi ia menawarkan gaya kehidupan yang moden dan ada stail.

FPKL dilancarkan secara rasmi baru-baru ini oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Frasers Hospitality Pte. Ltd. kini menguruskan 35 hartanah dengan jumlah 5,000 residen persendirian di 21 negara seluruh dunia.

Tahun ini, syarikat tersebut akan membuka 10 buah lagi hartanah, lapan di bawah jenama Fraser dan dua di bawah jenama Modena.

Syarikat ini juga akan muncul di 10 buah bandar utama dunia, iaitu Budapest (Hungary), Doha (Qatar), Dubai (Emiriah Arab Bersatu), Kuala Lumpur, New delhi (India), Osaka (Jepun), Bahrain (Timur Tengah), Chengdu (China) dan Tianjin (China).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: