SISTEM institusi francais adalah peluang kepada pelajar yang ingin menjejakkan kaki di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) namun gagal mendapat tempat.
PERLU IKUTI...institusi francais yang menjalin kerjasama dengan IPTA perlu mengikuti syarat ditetapkan bagi menjamin kualiti pembelajaran.
Malangnya, ramai sanggup melepaskan peluang itu kerana beranggapan belajar di institusi francais menjadi warga kelas kedua. Mereka turut menuduh institusi berkenaan hanya menggunakan label untuk mencari keuntungan.
Selain itu, benarkah institusi francais mengenakan bayaran lebih mahal kepada pelajarnya? Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Azni Zain Ahmed, berkata adalah tidak wajar menyamakan kerjasama antara institusi francais dan IPTA sebagai produk jual beli yang berasaskan keuntungan.
Beliau berkata, sistem pembelajaran francais diwujudkan bagi membantu mereka yang gagal memasuki universiti menggunakan modul dan kepakaran sama.
"Banyak tuduhan tidak berasas dilemparkan terhadap institusi francais, ada yang menganggap sijilnya tidak diiktiraf, tidak setara dan berasaskan keuntungan semata-mata.
"Ditegaskan, pandangan itu salah kerana setiap institusi francais tertakluk pada syarat ditetapkan IPTA yang menawarkan program itu.
"Kursus yang difrancais itu perlu mematuhi pengawalan standard IPTA (francaisor) yang memberi kebenaran menjalankan program, bukan mengikut cita rasa sendiri," katanya.
Beliau tidak menafikan senario itu berlaku namun jumlahnya kecil kerana setiap IPTA mempunyai mekanisme tertentu bagi memastikan garis panduan diikuti.
Malah, tindakan tegas seperti membatalkan kerjasama boleh dilakukan jika IPTA tidak berpuas hati.
"Setiap institusi francais yang menjalin kerjasama dengan mana-mana IPTA sentiasa dipantau bagi memastikan garis panduan dipatuhi."Ada yang berani mengambil kesempatan namun jumlahnya kecil. Bagaimanapun, institusi francais di negara ini mempunyai kesedaran tinggi bersama mendokong wawasan pendidikan negara.
"Mereka mahu memberikan yang terbaik kepada masyarakat terutama generasi muda yang dahagakan ilmu," katanya sambil menambah ibu bapa perlu bersikap terbuka dan memberi peluang anak belajar di institusi francais.
"Tidak timbul isu sijil tidak laku, gagal diiktiraf atau susah mendapat pekerjaan. Pelajar yang mengikuti program ini tertakluk pada setiap peraturan IPTA," katanya.
UiTM adalah antara pelopor terawal IPTA yang mewujudkan kerjasama institusi francais sejak 1996. Dikenali dengan nama Kolej Bersekutu, ia kini mempunyai 25 institusi yang menerima francais di seluruh negara.Melalui kerjasama ini, pelajar gagal mendapat tempat di universiti induk akan belajar di institusi francais. Bagaimanapun program, pensijilan, pengiktirafan , pembayaran dan modul pembelajaran adalah sama seperti di IPTA.
Dr Azni juga menasihatkan, jangan berasa rendah diri jika belajar di institusi francais kerana bukan kelas kedua malah berpeluang melanjutkan pengajian peringkat ijazah di IPTA asalkan memenuhi kriteria ditetapkan.
Mengenai soal keuntungan institusi francais jika semuanya dikawal francaisor, institusi berkenaan bebas menawarkan program sendiri bagi menjana pendapatan.
"Program kerjasama dengan IPTA terbabit saja dikawal. Jika ingin tawarkan program lain, tiada masalah.
"Kawalan perlu bagi menjaga standard francaisor supaya nama baik institusi terbabit tidak tercemar. Ada institusi francais yang bermasalah dan menggunakan nama IPTA bagi menjana keuntungan.
"Terpulang kepada IPTA mengambil tindakan namun bagi UiTM, kami tiada kompromi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: