AIRASIA Berhad (AirAsia), syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia, mengumumkan kejayaan pelaksanaan New Skies, sistem tempahan tiket baru dan canggih yang menawarkan pelanggan keselesaan dan penjimatan berganda.
KATHLEEN...mudah semak tambang termurah
Beliau berkata, New Skies yang mengambil alih sistem tempahan Open Skies membolehkan pelanggan AirAsia membuat tempahan terus dalam talian melalui laman web www.airasia.com selain membuat pembelian tiket melalui pejabat jualan, kaunter serta pusat panggilan AirAsia.
“Antara ciri menarik New Skies ialah pelanggan kini boleh membuat carian tambang murah. Selain itu, pelanggan juga mudah untuk menyemak tambang termurah yang ada mengikut destinasi dan tarikh perjalanan yang mereka pilih.
“Bagaimanapun, semua daftar masuk layan diri melalui laman web, perkhidmatan mudah alih dan kios di lapangan terbang masih berfungsi seperti biasa. Begitu juga opsyen urus sendiri dalam talian seperti menambah berat bagasi daftar masuk, hidangan pesanan awal dan pemilihan tempat duduk,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuala Lumpur.
Menurutnya, New Skies dibangunkan Navitaire, anak syarikat penyedia teknologi dan penyelesaian perniagaan peneraju industri, Accenture.
“AirAsia mencipta rekod dengan mengambil masa hanya sembilan bulan untuk menyelesaikan pemindahan sistem dari Open Skies kepada New Skies sedangkan syarikat penerbangan utama lain biasanya mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan.
“Kami sendiri tidak menyangka mampu menyiapkan sistem tempahan baru ini lebih awal daripada dijadualkan sekali gus membuktikan komitmen kami untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya.
Selain itu, katanya, pelanggan AirAsia kini boleh menempah tempat duduk bagi pelbagai bandar dengan satu transaksi.
“Contohnya, penumpang yang membuat penerbangan pergi-balik dari Perth ke Kuala Lumpur sebelum ke Hong Kong, tidak lagi perlu membuat dua tempahan berasingan.
“Dengan sistem Open Skies yang digunakan sebelum ini, kemudahan seperti itu tidak ditawarkan,” katanya.Beliau berkata, sistem baru itu berupaya membaca tulisan dalam bahasa Mandarin, Thai, Jepun serta pelbagai bahasa utama lain.
“Ini memudahkan penyediaan lebih banyak kandungan kepada pelanggan yang bertutur dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia sekali gus menjadikan AirAsia terus unggul untuk kekal relevan dan berada di hadapan sebagai peneraju industri,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: