MENDAKI gunung dan berkhemah antara dua aktiviti lasak menjadi kegemaran generasi muda kini.
BERGAMBAR...semua peserta bergambar selepas selesai berakit.
"Takut, cemas serta mendebarkan," begitu luahan rata-rata 40 peserta Program Berakit ke Sungai Pahang yang diadakan pada 15 hingga 16 Jun lalu oleh pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Putrajaya. Mereka terdiri daripada wakil pelajar setiap kelompok penginapan Uniten serta wakil Kelab Kembara dan Rekreasi Uniten termasuk pelajar luar negara.
Berakit kira-kira empat jam bermula dari Pos Buntu sehingga ke Pos Ruai, Sungai Pahang, pastinya meninggalkan kenangan yang sangat bermakna serta mencabar kepada mereka apatah lagi bagi yang baru kali pertama melaluinya.
Sebelum berakit peserta diuji kebolehan membuat rakit daripada buluh. Bermula daripada pemilihan jenis buluh yang bersesuaian sehinggalah cara mengikat untuk menjadikannya sebuah rakit sempurna dengan menitikberatkan ciri keselamatan pada rakit.
Sebelum mengharungi cabaran, semua peserta melalui sesi keyakinan dalam air bertujuan membina keyakinan terhadap jaket keselamatan digunakan. Aktiviti ini dikendalikan Pengurus Kela Adventure Camp, Azmi Bedu. Ketika sesi taklimat, pertandingan pertunjukan air diadakan bagi memeriahkan suasana dan mengeratkan lagi silaturahim antara peserta.
Menurut Pengarah Program, Siti Farhana Faridudin, antara kesukaran dihadapi ketika berakit ialah keadaan sungai yang cetek dan berbatu. Walaupun perjalanan bermula dengan santai, sekali sekala peserta terpaksa turun dari rakit untuk mengurangkan beban dan memudahkan rakit bergerak.
"Selain itu, laluan sungai yang sempit dan bengkang bengkok memerlukan kecekapan dan kekuatan tenaga peserta untuk mengemudi rakit agar berjalan dengan lancar," katanya.
Pada pertengahan ekspedisi sehingga ke kawasan penamat, peserta perlu lebih berhati-hati kerana arus sungai semakin deras serta berbatu di tengah laluan, ini mampu menjatuhkan peserta sekiranya rakit tidak dikawal sempurna dan melanggar halangan.
Selain batu besar, batang pokok yang tumbang juga menjadi halangan yang perlu ditempuhi semasa berakit.
"Namun peserta tidak perlu berasa takut untuk menyertai aktiviti ini kerana sepanjang ekspedisi, penyelamat berpengalaman sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan," kata Siti Farhana.Selain melatih diri untuk yakin serta bersemangat menempuh pelbagai halangan, peserta dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang tiada tolak bandingnya di kiri dan kanan laluan.
"Setiap peserta pasti kagum pada keindahan tumbuh-tumbuhan yang jarang ditemui. Air sungai yang jernih ditambah batu besar begitu memikat hati serta menambah rasa kesyukuran kepada kebesaran Allah," katanya.
Menurut Siti Farhana, sepanjang aktiviti berlangsung semua peserta menginap di Kela Adventure Camp iaitu resort perkampungan berkonsepkan alam semula jadi.
Berlatarbelakangkan Banjaran Titiwangsa dan sungai mengalir jernih, kawasan ini kaya dengan sumber flora dan fauna serta sesuai untuk mencari ketenangan.Dengan keluasan tiga ekar, tempat ini dilengkapi pelbagai kemudahan seperti chalet, dewan dan surau yang unik berkonsepkan alam semula jadi. Keseluruhan bangunan diperbuat daripada kayu, buluh dan daun bertam.
Aktiviti sebegini nyata bermanfaat kerana dapat membina kekuatan mental dan fizikal di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: