![]() |
| Sulaman tudung memberi kelainan pada penampilan. |
Sopan dan anggun. Itulah mesej yang ingin disampaikan menerusi gaya busana Women 2 Women (W2W). Tidak terikat dengan tudung pasang siap yang sedia ada, W2W mengimbau kembali fesyen tudung yang lazim dipakai. Kain jenis bawal nampak menarik digayakan wanita yang ingin menutup aurat cara Islam yang sebenar.
Menutupi bahagian dada wanita, ia kelihatan cantik dengan hiasan halus pada bahagian tepi. Menampilkan warna-warna yang sederhana, gaya tudung itu masih menepati cita rasa wanita moden. Walaupun agak kurang menarik digayakan dengan baju polos, manik-manik atau sulaman tudung menutup kekurangan tersebut.
Tampil selesa ke pejabat, pasti wanita tidak perlu risau tentang bentuk tudung. Tudung bawal dipakai tanpa mengira kesesuaian bentuk wajah sama ada bulat, bujur atau bersegi. Dengan memakai anak tudung yang ringkas, tudung bawal boleh dipakai segera kerana ia mudah dibentuk mengikut bentuk muka.
Lebih manis, jika wanita bekerjaya memilih pakaian melepasi paras punggung dan longgar.
Siapa kata eksekutif Muslimah tidak boleh bergaya kerana fesyen seumpama itu masih menampilkan personaliti anggun dan matang.
Ini kerana Islam meletakkan bertudung adalah sebahagian daripada syarat berpakaian.
Lihat sahaja model-model yang memperagakan busana ketika Bengkel Sayangi Diri, Sayangi Keluarga Bersama majalah Wanita yang berlangsung di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kesemuanya tetap cantik bergaya walaupun bertudung.
Bengkel itu dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Wan Hasmah Wan Mohd.
Bengkel siri jelajah Malaysia itu akan berkunjung ke lima lokasi termasuk di Kuala Lumpur bermula pada tiga Julai lalu dan akan diteruskan pada 18 Julai di Alor Setar, Kedah dan 30 Julai di Kota Baharu, Kelantan. Dua lagi lokasi, Melaka dan Kota Kinabalu Sabah akan dibuat selepas sambutan hari raya.
Bengkel itu adalah salah satu aktiviti majalah Wanita, produk Utusan Karya Sdn Bhd untuk mendekatkan diri dengan pembaca setia.
Penaja utama adalah D'Navechee Sdn Bhd, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan dan mendapat kerjasama Jamu Mak Dara Sdn Bhd dan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd dengan sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Untuk maklumat lanjut hubungi talian 03- 8926 2999.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: