Monday, July 12, 2010

Adakah kerana tidak cantik?

Saya berusia 23 tahun, hanya berkelulusan STPM dan kini bekerja di Shah Alam, Selangor. Saya bukanlah orang yang mempunyai banyak kelebihan. Bagi saya kelemahan sahaja yang selalu wujud dalam kehidupan saya. Saya juga sangat sensitif. Mungkin pengalaman masa kecil masih menghantui menyebabkan saya menjadi sangat sensitif.

Apabila masuk ke alam persekolahan, ia menambahkan lagi sifat saya yang satu itu. Di sekolah menengah, saya sering diejek oleh pelajar lelaki. Mereka memberi gelaran kepada saya sehingga ke mana saja saya pergi mereka akan memanggil saya dengan gelaran tersebut. Malu usah dicerita, sudah tebal muka saya. Mungkin kerana saya bukanlah seorang yang menarik maka reka mengejek saya. Yang ada rupa dilayan dengan baik, walaupun saya seorang pengawas sekolah tetapi itu bukan alasan untuk mereka berhenti mengejek saya. Empat tahun saya bersabar belajar di sekolah tersebut. Saya sedih kenapa mereka memperlakukan saya sedemikian rupa. Saya tak pernah menganggu mereka tetapi mereka menghina dan memandang rendah pada saya, kerana apa? Fizikal saya yang serba kekurangan? Perkara-perkara ini menganggu tumpuan saya terhadap pembelajaran. Sejak itu saya menyimpan perasaan benci pada lelaki tetapi dalam kebencian itu saya pernah mengenali seorang lelaki yang sangat baik. Walaupun dia tahu saya sering diejek tetapi dia sudi berkawan dengan saya. Saya amat mengagumi lelaki itu tetapi kami hanya kekal sebagai kawan walaupun saya menyayanginya. Kini saya menyukai seorang lelaki praktikal di tempat kerja saya tapi saya takut untuk berkawan dengan dia sebab saya takut dia seperti pelajar lelaki di sekolah saya dulu. Saya takut dia memandang rendah pada saya. Saya meluahkan perasaan kepada seorang kawan. Dia menasihatkan saya supaya cuba dahulu berkawan dengan lelaki itu, tetapi seperti yang saya katakan Putri, saya takut lelaki ini akan memandang rupa paras saya. Kadangkala apabila saya bertembung dengan lelaki itu, saya akan menundukkan wajah. Saya malu untuk bertentang mata dengan dia walaupun lelaki itu tidak tahu yang saya menyukai dia. Saya mahu meminta pendapat Putri bagaimana hendak mengembalikan keyakinan saya yang sudah lama hilang ini untuk meneruskan kehidupan tanpa rasa rendah diri dan malu. Mudah-mudahan dengan nasihat Putri, saya akan cuba bangkit dari semua masalah ini.

n Nad, Petaling Jaya, Selangor

Nad,

Saat membaca tajuk surat Nad, "Bisakah yang hina dicinta", satu sahaja jawapan yang Putri boleh berikan, sudah pasti Nad. Nad pernah berkata, faktor kehidupan masa kecil masih menghantui Nad hingga kini menyebabkan Nad menjadi seorang yang sangat sensitif. Masih belum jelas apakah perkara yang dialami Nad semasa kecil hingga menyebabkan Nad kurang keyakinan diri dan berasa tersisih daripada kawan-kawan.

Walaupun banyak pengalaman pahit yang Nad alami, seharusnya jangan tanamkan dalam diri sikap putus asa atau mudah mengalah. Seharusnya tingkatkan keyakinan diri dengan cuba memperbaiki hubungan sosial. Caranya, dapatkan khidmat nasihat kaunselor berdaftar. Kemudian, cuba sertai pelbagai program meningkatkan motivasi diri yang semakin banyak pada hari ini. menerusi seminar sedemikian, Nad boleh memperluaskan pergaulan dan keyakinan diri. Banyak kejayaan wanita hari ini membuktikan rupa paras atau bentuk fizikal tidak menjadi halangan. Malah ramai yang merasakan wajah tidak cantik atau berbadan saiz besar akhirnya merangkul kejayaan. Ada antara rakan Nad menasihatkan Nad supaya cuba dahulu berkawan dengan lelaki yang diminati secara diam-diam itu. Mungkin ada benarnya. Siapa tahu, jodoh Nad mungkin dengannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: