
BATU GAJAH - Mereka membesar bersama-sama malahan bagi penduduk Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Changkat Tin, Tanjung Tualang di sini, kelibat empat sabahat itu tidak ubah seperti adik-beradik yang tidak boleh dipisahkan.
Antara tempat bermain yang digemari mereka yang tinggal di RPT ialah sebuah stor usang berukuran tiga meter persegi dan ketinggian tiga meter.
Bangunan usang itu adalah tinggalan sebuah syarikat perlombongan bijih timah yang pernah beroperasi di kawasan itu sejak enam dekad lalu.
Hampir setiap masa terluang empat sahabat itu dihabiskan bersama, terutama di stor itu, namun kelmarin adalah hari terakhir bagi Mohd. Shahir Zairi, 13, dapat menikmati kegirangan bermain di stor terbabit ditemani tiga sahabatnya, Muhammad Hisham Allias, Ahmad Nuzol Ahmad Nawawi dan Muhamad Safwan Abdullah.
Hisham, 12, Ahmad Nuzol dan Safwan yang kedua-duanya berusia 13 tahun maut selepas ditimpa bumbung konkrit stor berkenaan pada pukul 7 petang kelmarin.
Shahir yang turut terperangkap di bawah kepingan bumbung konkrit itu cedera parah dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Sebelum kejadian, empat sahabat itu keluar dari rumah masing-masing pada pukul 3 petang untuk menunggang basikal mengelilingi kampung dan dipercayai berteduh di stor tersebut apabila hujan semakin lebat.
Hisham pada pukul 6.30 petang pulang seketika ke rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter dari stor tersebut untuk mengambil spanar.
Ahmad Nuzol, Safwan dan Shahir ialah pelajar Sekolah Menengah C.M Yusof manakala Hisham pelajar Sekolah Kebangsaan Changkat Tin.
Kedua-dua sekolah itu terletak di Tanjung Tualang.
Faridah Muhammad, 48, ibu arwah Hisham berkata, anaknya itu pulang tergesa-gesa dan mengambil spanar yang didakwa bagi tujuan membaiki basikal kawannya.
"Dia kata mahu repair (baiki) basikal dan saya pun tidak tanya lanjut sebab dia macam mahu cepat," kata wanita itu ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Bagaimanapun, kata wanita itu, dia mula tidak sedap hati apabila Hisham tidak muncul di rumah walaupun sudah lewat petang sebelum menyuruh abang mangsa, Muhammad Faizal keluar mencari.
"Pencarian itu berakhir dengan Hisham ditemui telah meninggal dunia," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: