![]() |
| CERIA... para pelakon Blues Pasar Tani (dari kiri) Watie, Joey, Zack Taipan, Mat Murad dan Gunasegaran Ramu di samping gerai yang menjual pelbagai jenis buah-buahan seperti digambarkan dalam drama komedi tersebut. |
KUMPULAN duo, Wili yang dianggotai oleh Wira dan Ali merupakan peserta pertandingan Raja Lawak Astro musim ke-4 yang paling menyerlah berbanding peserta lain.
Biarpun cuma sekadar finalis, mereka merupakan peserta pertandingan lawak jenaka anjuran Astro Prima yang paling awal mendapat tawaran berlakon drama.
Seminggu selepas tersingkir pada minggu keempat Raja Lawak Astro 4, dua peserta berasal dari Perak itu mendapat tawaran berlakon dalam drama berjudul Blues Pasar Tani.
Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, menyifatkan rezeki Wili lebih awal datang berbanding finalis Raja Lawak Astro 4 yang lain, selain mereka juga mempunyai peminat tersendiri.
"Walaupun tersingkir daripada pertandingan itu tetapi Wili mempunyai peminatnya sendiri. Kami yakin dengan bakat mereka sebab itu kami tawarkan mereka berlakon dalam drama ini.
"Kebetulan mereka ketika itu tidak sibuk berbanding peserta-peserta Raja Lawak yang lain. Mungkin ketika tawaran itu dibuat ia masa yang sesuai," katanya ketika ditemui pada pelancaran Blues Pasar Tani di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Selain Wili, menurut Nizam drama komedi sebanyak 13 episod itu juga diperkuatkan lagi dengan ramai pelakon terkenal termasuklah Rosnah Mat Aris, Abon dan Joey.
Jelasnya, drama komedi arahan MP Roslin Md. Shariff itu menggunakan latar pasar tani bagi memaparkan pelbagai isu semasa yang digarap secara santai tetapi penuh pengajaran.
"Dalam 13 episod ini kami memaparkan 10 isu seperti kes ragut, tahyul, buang bayi dan ah long. Ada juga episod yang agak panjang ceritanya dan disambung pada episod seterusnya.
"Kami sampaikan mesej-mesej drama ini dalam gaya penyampaian yang ringan supaya ia mudah difahami dan diterima oleh para penonton daripada segenap lapisan masyarakat.
"Pada masa sama, pemilihan pasar tani sebagai lokasi penceritaan kerana ia merupakan suatu tempat yang dikunjungi oleh ramai orang. Pelbagai cerita dan jenis orang ada di situ," ujarnya.
Blues Pasar Tani yang ideanya datang daripada Unit Pembangunan Kandungan Astro Prima, kata Nizam, menjadikan komedi sebagai genre drama itu bagi menarik lebih ramai penonton.
Tambahnya, genre itu bukan sahaja antara genre yang popular, malah ia juga sebagai salah satu slot yang akan menambahkan lagi kandungan dalam saluran televisyen berbayar tersebut.
"Dalam saluran Astro Prima kita ada banyak drama yang berat dan drama Blues Pasar Tani salah satu genre pilihan buat para peminat genre komedi.
"Apatah lagi, kisah tentang pasar tani belum pernah dikisahkan dalam drama bersiri. Penggunaan perkataan blues pada judul drama ini menggambarkan elemen santai di dalamnya.
"Asalnya kami mahu meletakkan judul drama ini Senandung Pasar Tani tetapi ia kedengaran agak berat bunyinya. Pembikinan drama ini agak rumit tetapi hasilnya memuaskan hati," katanya.
Astro Prima mengambil masa hampir sebulan bagi memilih dan menyiapkan set lokasi penggambaran drama ini yang terletak di Kampung Jorak, Muar, Johor.
Sementara itu, Wili yang ditemui pada majlis itu tidak menafikan berasa bangga dan bersyukur apabila Astro Prima memberi kepercayaan kepada mereka berlakon drama tersebut.
Ali, 26, salah seorang anggota kumpulan itu yang sebelum itu bekerja sebagai pemandu folklift di Batu Gajah, Perak sanggup berhenti kerja semata-mata kerana mahu menjadi pelakon.
"Saya seronok kerana dapat berlakon dalam drama ini walaupun saya 'kosong' dalam bidang lakonan. Saya terhutang budi dengan Astro Prima kerana memberi peluang ini.
"Pelakon lain yang berpengalaman banyak membantu saya dan Wira sewaktu berada di lokasi penggambaran drama ini.
"Saya gembira melakonkan watak itu dalam gaya lakonan yang komedi sesuai dengan perwatakan saya," katanya yang teringin melakonkan watak orang gila pada masa depan.
Di samping Ali, Wira, 23, juga sanggup meninggalkan pekerjaan lamanya sebagai peniaga air kelapa di Batu Gajah demi memenuhi impiannya sebagai pelakon.
Jelas Wira, dia juga bersedia menerima kritikan jika lakonan sulungnya dalam Blues Pasar Tani itu kurang memuaskan dan berjanji akan memperbaikinya pada masa akan datang.
"Saya pun macam Ali juga datang dalam bidang ini 'kosong' ataupun tidak ada pengalaman berlakon langsung. Mujurlah ada tunjuk ajar pengarahnya.
"Saya lebih yakin berlakon tetapi kalau orang mahu mengkritik, hendak buat macam mana," soalnya yang teringin melakonkan watak sebagai penagih dadah di masa depan.
Selain Wili, Blues Pasar Tani turut dibintangi oleh Gunasekaran Ramu sebagai Rajni, Mat Murad (Soya) dan Watie Sadali (Seri Teratai).
Blues Pasar Tani yang menggunakan sekurang-kurangnya 30 pelakon tambahan pada setiap episod akan disiarkan di Astro Prima setiap Rabu pukul 10.30 malam mulai 12 Mei ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: