
MUSAFIR Perjuangan yang merupakan buah tangan terbaru Raihan telah mencatat jualan mencecah 12,000 unit untuk bulan pertama.
Album ke-10 Raihan itu mengandungi lagu-lagu yang pernah dipopularkan satu masa dahulu seperti Musafir Kelana, Allah Is Calling, Nun Di Sana, God Is The Light dan Tanpa Agama.
Kesemua lagu-lagu itu telah digubah dan membawakan konsep dan cara nyanyian Raihan bertujuan untuk peminat nasyid dapat menghayati lagu nasyid awal zaman.
Menurut anggotanya, Che Amran Idris, 41, bagi generasi baru yang tidak pernah mendengar irama nasyid terdahulu juga dapat menghayati mesej yang terkandung dalam lagu itu.
Katanya, mudah-mudahan generasi akan datang akan terus memilih irama nasyid sebagai hiburan alternatif mereka.
"Kesemua gubahan muzik dan lagu di dalam album ini disusun oleh Abu Bakar Md. Yatim. Konsep yang cuba diketengahkan juga tidak banyak berbeza dengan konsep asal lagu itu.
"Kami berharap mudah-mudahan semua yang mendengar lagu nasyid ini dapat mengimbau kembali kemeriahan lagu-lagu dakwah yang meruntun jiwa ke arah kebaikan," katanya ketika ditemui di Restoran Seri Melayu baru-baru ini bersama anggota lain Raihan Abu Bakar Md. Yatim, 40, Amran Ibrahim, 38, dan Zulfadli Mustaza, 25.
Tambahnya, dua lagu dalam album Musafir Perjuangan itu didedikasi kepada mereka yang telah pergi menemui Ilahi.
"Lagu yang berjudul Allah Is Calling pernah dinyanyikan oleh anggota kumpulan Raihan Allahyarham Azhari Ahmad dan Salleh Ramli (Hijjaz), manakala lagu Nun Di Sana pula yang dinyanyikan Ustaz Asri Ibrahim (Rabbani).
"Jasa mereka dalam memartabatkan irama nasyid tidak terbalas. Semoga rakaman semula lagu-lagu tersebut dapat membangkitkan semangat cintakan lagu lagu ketuhanan yang mententeramkan jiwa," tambahnya.
Richard Thomson
Malah, Raihan yang dijangka akan menjual album Musafir Perjuangan di Indonesia sekali lagi akan terbang ke London pada 13 Jun depan selepas dijemput untuk menyertai Festival Melt Down di London yang dikendalikan oleh Richard Thomson.
Jelas Che Amran, Raihan merasakan jemputan itu sebagai satu penghargaan buat Raihan yang membawa lagu berkonsep nasyid.
Dalam pada itu, bersempena dengan penerbitan album Musafir Perjuangan, Raihan menerusi syarikat HPA Raihan telah mengeluarkan minyak wangi iaitu Raihan Fragrance.
Bagi tujuan promosi, bagi setiap pembelian cakera padat Musafir Perjuangan anda boleh membeli wangian itu dengan potongan sebanyak 10 peratus di semua rangkaian HPA seluruh negara.
Kata Che Amran lagi, minyak wangi itu mempunyai dua koleksi untuk lelaki dan perempuan dengan enam jenis wangian berbeza setiap satu.
"Jenis-jenis wangian itu diberi nama berdasarkan judul-judul lagu Raihan seperti Puji-Pujian, Syukur, Senyum, Demi Masa dan lain lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: