Friday, May 14, 2010

Tidak sanggup dengar tangisan




DI kawasan itu, segala yang dikhuatiri berlaku sudah biasa terjadi. Khalayak di jalanan dipenuhi wajah-wajah yang membuat hal masing-masing dan tidak langsung mempedulikan orang lain.

Insiden wanita yang meminta pertolongan kerana beg tangannya dilarikan peragut yang bersenjatakan pisau, lelaki-lelaki kurus dan kusut masai yang mengundang label persepsi seperti kutu rayau dan penagih dadah, serta golongan oportunis yang sedia mencari mangsa yang leka.

Memang sukar untuk mencari kenalan jujur di tempat itu yang sering dikaitkan dengan kejadian jenayah tersembunyi mahupun secara terang-terangan. Adakalanya, insiden yang berlaku seumpama menyaksikan adegan yang biasa ditonton dalam drama atau filem aksi.

Apa yang menyedihkan, suasana seperti itu seumpama perkara biasa bagi pengunjung apatah lagi bagi mereka yang tinggal di sekitar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Pada waktu malam, kebimbangan itu bertambah. Namun, kehadiran sekumpulan kanak-kanak yang merayau-rayau di sekitar kawasan tersebut apabila malam semakin larut pasti mengundang tanda tanya.

Tanpa ditemani ibu bapa mahupun penjaga, ada juga antara kanak-kanak itu yang meminta sedekah daripada orang ramai. Bergelandangan tanpa rasa takut, mereka sebenarnya adalah anak-anak jalanan Chow Kit yang menjadikan persekitaran menakutkan itu sebagai taman permainan mereka.

Anak jalanan

Sungguhpun jalan itu memiliki 'reputasi' sebagai kawasan panas yang melahirkan pelbagai kegiatan kurang sihat di ibu kota, terdapat juga tempat yang bertujuan menjaga kebajikan dan keselamatan golongan anak-anak ini.


SABAN hari, Nur Salam menerima kira-kira tiga hingga empat kanak-kanak yang membawa bersama pelbagai latar belakang.


"Hak dan nasib kanak-kanak ini perlu dibela dan diberi perhatian. Saya memang suka dan sayang akan kanak-kanak. Pantang melihat dan mendengar tangisan kanak-kanak, saya mesti tersentuh.

"Lebih-lebih lagi jika suara itu meminta soal makanan, tempat tinggal ataupun mencari kasih sayang ibu bapa mereka," ujar Dr. Hartini Zainuddin.

Wanita itu merupakan salah seorang pengurus yang turut bertindak selaku pekerja sosial Pusat Aktiviti Kanak-kanak Nur Salam. Sedamai nama pusat itu, ia adalah premis yang memberi perlindungan dan kebajikan kepada kanak-kanak terbiar di Chow Kit sehingga hari ini.

Terletak di sebuah bangunan empat tingkat, Nur Salam menjadi kediaman tetap kepada kira-kira 670 orang kanak-kanak di sekitar Kuala Lumpur. Ia diasaskan oleh Pengarah Eksekutifnya, Raja Azizan Raja Abdul Latiff bersama isterinya Afidah Abd Latif kira-kira tiga tahun yang lalu.

Walau bagaimanapun, perjalanan pusat yang beroperasi selama 24 jam setiap hari untuk kanak-kanak terbiar di bawah 18 tahun itu sukar diteruskan tanpa penglibatan golongan terlatih seperti Hartini.

"Sebab itu, saya dan beberapa lagi sukarelawan lain membuat keputusan untuk menyertai dunia khidmat sosial untuk membantu anak-anak kecil yang tidak berdosa ini. Ramai di antara mereka diabaikan," ujar Hartini yang merujuk kepada aspek perhatian, kasih sayang, kebersihan, makanan, tempat tinggal dan juga pendidikan.

Berhadapan dengan isu keterdesakan hidup adalah sesuatu yang biasa bagi wanita yang berusia 40 tahun itu. Hampir separuh tempoh hayatnya telah dikorbankan untuk keperluan golongan yang memerlukan. Kini di Nur Salam, dia komited terhadap hal-hal pembangunan pusat aktiviti tersebut.


TIGA tahun lalu, Hartini menyertai Nur Salam sebagai guru bahasa Inggeris.


Tanpa mengenakan sebarang alat solek untuk kelihatan anggun, anak kelahiran Johor Bahru, Johor yang mesra dengan panggilan Tini itu memberitahu, sama seperti golongan dewasa, kanak-kanak juga memiliki hak mereka sendiri untuk memilih kehidupan yang mereka ingini.

"Hanya kerana pemikiran mereka masih hijau, ini tidak bermakna ibu bapa atau mana-mana pihak lain mengambil kesempatan terhadap hak mereka untuk kepentingan masing-masing.

"Sebab mereka pun ada perasaan, keinginan dan kepentingan untuk mengharungi hidup yang dianugerahkan itu," jelas Tini yang telah menghabiskan zaman remajanya melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti di New York, Amerika Syarikat (AS).

Sewaktu di bumi Uncle Sam itu, Tini begitu obses menyertai variasi badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kanak-kanak dan remaja. Katanya, pemikiran masyarakat AS yang terbuka terhadap isu-isu kanak-kanak dan sistem perundangan sendiri banyak memberi ruang kepadanya untuk berjuang ke arah hak kanak-kanak sedunia.

Dengan cita-cita dan hasrat yang sama, pada tahun 2001 dia kembali ke tanah air untuk meneruskan kerja-kerja sosial di negara ini.

Tini yang memiliki sarjana muda dalam bidang kesusasteraan Inggeris menghabiskan tempoh awal selepas kepulangannya itu dengan mengajar penulisan kreatif dan bahasa Inggeris di kalangan para pelajar di sekitar ibu kota.


SEPANJANG tempoh khidmat sosialnya, Hartini berpeluang menemui pemimpin dunia yang biasa bercakap tentang kesejahteraan komuniti global seperti Kofi Annan (duduk kiri).


Komitmen dan minat

Sejurus mendapat tahu tentang Nur Salam, Tini tidak berfikir dua kali lalu menyertai pusat itu sebagai guru bahasa Inggeris. Namun dia mengakui, menguruskan Nur Salam bukan satu tugas yang mudah.

Apa yang diperlukan adalah minat, sifat sanggup berkorban, kesabaran dan sensitiviti terhadap hak dan isu kanak-kanak.

Oleh sebab pusat tersebut beroperasi 24 jam sehari menuntut dia memulakan rutin hariannya seawal 5.30 pagi dan berlanjutan sehingga larut malam. Waktunya memang padat. Daripada menguruskan perjalanan operasi, pengurusan pusat pendidikan sehinggalah berjumpa klien mahupun pihak kementerian.

Menurut Tini, saban hari Nur Salam menerima kira-kira tiga hingga empat orang kanak-kanak yang mempunyai pelbagai latar belakang yang mampu meruntun hati seseorang.

Misalnya, kanak-kanak yang didera oleh ibu bapa sendiri ataupun keluarga tiri, bayi kepada ibu remaja yang dibiarkan di atas tangga pusat ini dan kanak-kanak miskin yang tidak mampu mendapat pendidikan mahupun tempat tinggal serta makanan.

"Kadangkala proses menyelamatkan kanak-kanak daripada ancaman orang berniat jahat juga mengundang bahaya kepada diri sendiri. Memang tindakan tersebut berisiko tinggi. Panggilan mengugut, membunuh dan sebagainya sudah pun menjadi sesuatu yang biasa.

"Pernah juga saya dikejar oleh seorang lelaki dengan sebilah parang dalam misi menyelamatkan seorang wanita dan anak perempuannya.


PERTEMUAN bersama pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.


"Keadaan terdesak seperti ini membuatkan saya gagal membantu dua jiwa yang sungguh memerlukan bantuan itu," ujar ibu tunggal itu yang turut mengambil tiga orang anak angkat dari pusat yang sama itu iaitu seorang bayi berusia dua bulan, kanak-kanak berumur empat tahun dan seorang remaja berusia 14 tahun.

Wanita tinggi lampai dan berambut pendek itu berkata, fokus Nur Salam adalah menjaga kebajikan dan masa depan kanak-kanak yang melangkah ke pusat itu.

Lingkungan usia yang masih mentah dan tidak bijak menilai yang mana buruk dan baik maka mereka memerlukan perhatian kritikal daripada semua lapisan masyarakat.

Hartini terus optimis tentang masa depan Nur Salam. Dia mengharapkan pusat tersebut boleh membangun sebagai sebuah pusat pengajian bagi kanak-kanak terbiar dari seluruh pelosok dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: