Sunday, May 9, 2010

Teriam kasih orang PD!


ZARINA muncul dengan penuh kemesraan mencuit hati penonton.


MEMANG di luar jangkaan! Begitulah yang terjadi apabila melihatkan lautan manusia yang memenuhi Dataran Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan 2 Mei yang lalu.

Buat julung-julung kalinya Mini Konsert Pancaindera kembali menemui peminat-peminat di kawasan Port Dickson sempena Kembara Mingguan Malaysia yang diadakan kali pertama di negeri yang penuh dengan adat itu.

Hampir tiga tahun tidak mengadakan acara besar-besaran,Mini Konsert Pancaindera yang cukup sinonim dengan akhbar nombor satu negara Mingguan Malaysia, kali ini Negeri Sembilan menjadi destinasi pertama untuk tahun 2010.

Apa yang pasti Mini Konsert Pancaindera kali ini amat istimewa kerana ia dianjurkan sempena Pesta 1 Malaysia 1 Port Dickson yang berlangsung pada 30 April hingga 2 Mei 2010 di tempat yang sama.

Bertemakan Selagi Ada Sayang, konsert berskala kecil ini turut menghantar mesej bermakna dalam mengajak kaum remaja menjauhi gejala sosial yang semakin membarah dalam masyrakat kita hari ini.

Selain berhibur, tujuan utama Kembara Mingguan Malaysia dan Konsert Pancaindera diadakan untuk mendekatkan golongan artis dan masyarakat setempat yang tidak penah jemu-jemu menyokong akhbar Mingguan Malaysia dan selebriti tempatan.

Rata-rata penduduk sekitar Port Dickson tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat barisan artis-artis tempatan menghiburkan pengunjung yang datang sambil menyampaikan mesej kemanusiaan agar gejala sosial yang melanda masyarakat kita segera dihentikan.

Turut memberi sokongan padu sehingga kepenghujung acara ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Zainab Nasir yang cukup sporting dan membantu sepanjang acara berlangsung.

Seperti yang dijanjikan 14 orang artis tempatan turut sama termasuklah Hattan, Zamani Slam, Ameng Spring, Roslan Shah, Zarina AF, Fadzli Zainal, Haiza dan Izwan Pilus.

Pancaindera juga turut berbangga dan berbesar hati apabila para pelakon popular tanah air mahu turut serta termasuklah Jehan Miskin, Kamal Adli, Intan Ladyana, Fizo Omar dan Hairi Anak Wayang.

Fizo Omar yang mengesahkan penyertaan di saat-saat akhir cukup teruja dengan program yang disediakan memandangkan tidak seperti program-program hiburan yang lain.

Konsert yang dimulakan pada pukul 9 malam itu cukup gamat dengan gandingan pengacara yang cukup sensasi, Roslan Shah dan Hairi Anak Wayang yang bertindak selaku pengacara majlis.

Malah kelibat deejay Suria FM yang menjadi radio rasmi juga tak kurang hebatnya. Gandingan Tuah Zoqarnain, Lin dan Bob Ringgo cukup membuatkan pengunjung yang hadir bersorak gembira kerana dapat bertentang mata.

Bermacam-macam hadiah dan buah tangan yang diberikan kepada pengunjung yang terpilih yang cukup sporting melayan artis-artis yang begitu teruja untuk melayan penonton.

Sebelum itu pada sebelah paginya pasukan Kembara Mingguan Malaysia telah pun singgah di Rumah Kanak-Kanak Rembau dan Sekolah Menengah Agama Haji Mohd. Yatim, Ulu Gadong bagi berjumpa dan beramah mesra dengan penghuni.

Peluang untuk beramah mesra dan bertentang mata dengan penghuni dirasakan cukup istimewa bukan sahaja oleh para artis tetapi juga ahli kembara yang lain memandangkan peluang sebegini tak selalunya datang.

Kecerian jelas terpancar di wajah setiap penghuni tatkala melihat artis pujaan yang selama ini hanya dapat ditonton melalui televisyen dan di dada-dada akhbar, akhirnya muncul di hadapan mata sendiri.

Tampil kelainan

Berbeza dengan konsert-konsert lain yang banyak dihidangkan selama ini, Mini Konsert Pancaindera tampil berbeza apabila menampilkan para pelakon yang cukup popular ketika ini untuk sama-sama naik ke atas pentas.

Jika sebelum ini, apa yang melibatkan persembahan hiburan pentas biasanya didominasi penyanyi, Pancaindera memilih kelainan.

Jehan Miskin, Fizo Omar, Intan Ladyana dan Kamal Adli tidak melepaskan peluang untuk sama-sama bersketsa di atas pentas bersama dengan pengunjung.

Paling mendapat sambutan sudah pasti melihatkan kelibat Jehan Miskin.

Ramai yang menawarkan diri untuk berlakon bersama jejaka yang berusia 31 tahun dan sedikit sebanyak menjadikan Jehan antara selebriti yang cukup popular di malam konsert itu. Jehan tampil dengan sketsa yang menyampaikan mesej kepada pasangan bercinta supaya memilih kehidupan yang positif sebelum mendirikan rumah tangga. Jangan mudah terlanjur, jangan alpa kala bercinta kerana cinta boleh menghumban seseorang ke lembah durjana jika bertunjangkan hawa nafsu menggila.

Gandingan pasangan Kamal Adli dan Intan Ladyana juga tak kurang hebatnya apabila menjemput dua penonton untuk melakonkan sketsa ‘jangan buang bayi’ ekoran isu negatif pembuangan bayi yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

Penonton yang hadir cukup gembira melihatkan gandingan Roslan Shah dan Hairi yang menyanyikan lagu Cari Jodoh yang dipopularkan oleh kumpulan Wali dan lagu Memikat Hati dari R Azmi.

Ia diteruskan lagi dengan persembahan Zarina dengan lagu Bertakhta Di Hati dan Goyang Inul yang begitu mendebarkan hati penonton apabila melihatkan bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia itu ecara langsung.

Fadzli Zainal tidak mahu ketinggalan mendendangkan lagu Dan Sebenarnya, Sejuta Nafas Cinta dan Harapan manakala Izwan selesa membawakan lagu Kembali Senyum dan Cek Mek Molek.

Dataran Teluk Kemang terus meriah pada malam itu dengan aksi Haiza yang mendera penonton untuk menyanyikan lagu dangdut bersama-samanya di atas pentas menerusi lagu Mandi Madu yang cukup sinonim dengan imejnya itu.

Tak kering gusi penonton yang hadir tatkala melihatkan seorang pengunjung yang sering kali diusik oleh artis-artis yang membuat persembahan pada malam itu.

Penonton masih tidak berganjak sangat teruja dengan kehadiran Ameng Spring yang cukup popular dengan lagu Sejiwa itu. Malam itu dia mendendangkan lagu Kesalanku, Bourganvilla dan Sampai Hati yang banyak menaikkan namanya di persada seni tempatan.

Konsert diteruskan dengan kemunculan istimewa Zamani Slam yang membawakan lagu Nur Kasih dan Gerimis Mengundang. Dataran Teluk Kemang semakin panas apabila menyaksikan kemunculan Hattan yang menjadi penutup kepada Mini Konsert Pancaindera.

Adat di tempat sendiri, anak kelahiran Negeri Sembilan itu mendendangkan lagu terbarunya, Cinta Pertama dan disusuli dengan lagu Biso Bona.

Detik paling manis apabila kesemua artis menyertai Hattan kala menyampaikan lagu berhatunya, Memburu Rindu.

Dan Port Dickson bergema dengan laungan yang sama, sehati sejiwa mengalunkan lagu bertemakan ketuhanan itu. Malah, ada sesetengah penonton wanita kelihatan berkali-kali mengesat air mata, petanda benar-benar berada digarisan penghayatan lagu berkenaan.

Sudah pastinya, momen-momen yang sama bakal berulang buat kesekian kalinya. Tanggal 29 dan 30 Mei depan, Pancaindera akan bersama dengan pembaca setia kami di Johor Bahru pula untuk mengukuhkan lagi kesetiaan kami terhadap pembaca tersayang.

Konsert Mini Pancaindera sekali lagi akan memunculkan ramai artis-artis popular tanah air yang sudah mengesahkan tempat untuk menghiburkan anda nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: