Thursday, May 13, 2010

Tahniah untuk Nabil



Walaupun dihimpit masalah kesihatan dan sakit tekak, namun itu bukanlah pematah semangat untuk anak muda ini menunjukkan kehebatannya di pentas Asia apabila berjaya mengharumkan nama Malaysia menerusi pertandingan The 11th Pan Asia Music Festival yang berlangsung di Beijing, China.

Pertandingan yang berlangsung selama sepuluh hari itu telah membuahkan hasil buat naib juara program realiti Mentor musim pertama ini. Biarpun namanya tidak segah artis tempatan yang lain, namun kemampuan Nabil membawa pulang dua anugerah di dalam pertandingan berprestij itu membuktikan keunikan bakat anak muda ini.

Nabil yang mengakui berhadapan tekanan untuk membawa nama Malaysia, yakin berkat usaha gigihnya dan harapan yang disandarkan di bahunya, Nabil tekad untuk memberikan yang terbaik sepanjang pertandingan dijalankan.

Menurutnya, tahap kesihatannya yang tidak menentu kerana terlalu fokus kepada kelas latihan vokal tetapi kerana amanah yang dipikulnya membuatkan Nabil tekad untuk melakukan yang terbaik.

“Saya amat risau dengan kesihatan diri saya sama ada boleh buat persembahan terbaik atau tidak. Lagi pula, saya tidak membawa nama saya tetapi nama Malaysia. Saya harus buktikan sesuatu.

“Semasa di sana, saya lebih banyak berkurung diri di dalam bilik sekiranya tidak ada latihan kerana keadaan cuaca yang sejuk dan kering. Ia boleh membuatkan keadaan kesihatan saya akan lebih teruk. Saya hanya berehat dan banyak minum air suam.

“Alhamdulillah, saya dah berikan yang terbaik dan inilah hasilnya. Saya amat bersyukur dengan kemenangan ini biarpun hanya tempat kedua. Tapi ia amat bererti kerana pertandingan kali ini bukan sahaja untuk negara Asia malah turut disertai oleh beberapa negara Eropah seperti Australia, Bulgaria dan Malta,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Pada pertandingan tersebut, Nabil telah menyampaikan dua buah lagu iaitu Dari Jauh ciptaan Lah Ahmad dan lagu Inggeris Song For You. Lagu Dari Jauh telah dinobatkan sebagai tempat kedua. Nabil yang berentap dengan peserta dari 30 buah negara turut berjaya mencuri tumpuan apabila juru menggemari persembahannya.

“Saya diberitahu pihak juri suka dengan persembahan saya kerana kelainan yang saya bawakan. Jika kebanyakan peserta lebih banyak membawakan lagu-lagu berentak pop, tetapi saya pula dengan R&B. Jadi, di situlah kelebihan yang saya ada,” katanya.

Jika sepuluh tahun lalu, penyertaan dari negara kita terus memasuki peringkat akhir, berbeza dengan Nabil yang bersaing daripada peringkat saringan, separuh akhir dan peringkat akhir.

“Saya melalui fasa yang agak berbeza. Seperti saya katakan, saya hanya lakukan yang terbaik demi nama Malaysia,” katanya.

Nabil berkata, kemenangannya adalah berkat dorongan dan sokongan rakyat Malaysia terutama guru vokalnya Dia Fadilla, Lah Ahmad dan pihak Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

“Saya amat berterima kasih kepada mereka semua kerana percaya dengan bakat saya. Saya akan meneruskan kerjaya seni saya ini dan tidak akan menoleh ke belakang lagi.

“Inilah permulaan baru buat saya. Ia seakan pembakar semangat saya. Saya akan buktikan kemampuan sebenar saya. Walaupun masih belajar, tetapi saya tetap akan muncul dengan album dan tak akan berhenti menyanyi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: