![]() |
| |
Cuba renung betul-betul persis siapakah wajah penghias ruangan Kacak Bergaya minggu ini yang juga calon untuk Pencarian Kacak Bergaya Pancaindera 2011?
Sekali imbas wajahnya persis pelakon Indonesia, Irwansyah. Kalau anda berpandangan sedemikian, anda bukanlah orang pertama kerana banyak kali ada yang menyangka pemilik nama Shahbidin Bolhi ini sebagai artis dari seberang itu.
Memang wajahnya ada persis Irwansyah pada pandangan depan. Shahbidin atau lebih senang disapa Shah sebenarnya sudah biasa dengan teguran sedemikian.
Pemuda berasal dari Sarawak ini sedang melanjutkan pengajian di sebuah kolej di Ipoh, Perak setelah tamat pengajian ijazah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dua tahun lalu.
"Saya inginkan pekerjaan yang stabil sebab itu saya meneruskan pengajian. Sebelum ini saya bekerja secara kontrak di Kuching," kata Shah kepada Pancaindera.
Bercerita pasal penyertaannya dalam Pencarian Kacak Bergaya, kata Shah hobinya membaca majalah hiburan URTV membuatkan beliau tertarik setelah membaca rencana mengenai finalis Pencarian Kacak Bergaya 2010 dimuatkan di dalam majalah hiburan itu.
"Saya rasa mereka bertuah sebab mendapat pendedahan meluas dalam akhbar dan majalah. Saya juga ingin mengambil peluang itu kerana sememangnya saya ada minat untuk menceburi bidang seni.
"Sebenarnya saya pernah terlibat dalam pembikinan klip video sebuah lagu nyanyian Jaclyn Victor semasa masih belajar di UKM dulu. Bukanlah jadi pelakon utama sebaliknya hanya pelakon tambahan sahaja.
"Tapi saya dapat rasa keseronokan apabila terlibat dalam produksi itu lebih-lebih lagi selepas melihat hasil klip video tersebut ditayangkan," jelas Shah.
Sebelum menyambung pengajian, Shah sempat bekerja dalam bidang perkhidmatan pelanggan sebuah syarikat. Banyak pengalaman yang ditimba sepanjang lebih setahun bekerja.
"Kalau tanya apakah pengalaman paling banyak jawapan saya ialah pengalaman kena marah-marah dengan pelanggan. Ia membuatkan saya belajar bagaimana cara menenangkan pelanggan dan mengawal kemarahan apabila berdepan dengan panggilan yang suka marah-marah.
"Sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan, kita harus memberi perkhidmatan untuk memuaskan mereka, tapi saya rasa pelanggan mengambil kesempatan meluahkan kemarahan kepada petugas.
"Tapi ada juga yang menjadikan talian perkhidmatan pelanggan sebagai tempat untuk meluahkan perasaan. Kawan saya selalu dapat panggilan daripada wanita kesepian yang tidak tahu ke mana mahu meluahkan perasaan.
"Pemanggil itu bukan mahu mengganggu sebaliknya hanya mahu meluahkan masalah yang dihadapinya kepada orang yang mahu mendengar. Kalau talian tidak sibuk, kawan saya layan juga panggilan begitu," kata Shah lagi.
Sementara itu Shah juga seorang yang gemar membaca akhbar. Beliau akui hatinya pernah tersentuh apabila menatap gambar bayi dibuang dan kanak-kanak didera yang sering dipaparkan.
"Bagi saya orang yang membuat angkara itu seorang yang tidak bertamadun dan patut dikenakan hukuman berat. Saya nampak media juga turut mengadakan kempen kesedaran pasal perkara itu.
"Kempen kesedaran Kami Prihatin yang turut dijayakan oleh akhbar Utusan Malaysia ialah satu usaha yang sangat murni bagi menyedarkan masyarakat agar timbul rasa kasih sayang.
"Setiap anggota masyarakat harus memainkan peranan dalam mewujudkan kesedaran terhadap isu ini," sambung anak muda itu lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: