USAHA menambahkan kemahiran di kalangan ibu tunggal di kawasan tanah rancangan Felda di Pahang kini dilaksanakan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) yang menganjurkan bengkel ekonomi di bawah Program Mesra Dakwah (Peramah).
Pelbagai latihan singkat diberikan yang diharap menjadi perintis kepada usaha membantu golongan berkenaan menambahkan pendapatan dengan aktiviti kreatif yang memerlukan ketekunan dan minat.
Selain kelas jahitan pakaian wanita dan anyaman mengkuang, turut diadakan bengkel sulaman manik. Bertempat di pusat kegiatan wanita Felda Bukit Sagu Satu, Pahang, baru-baru ini diadakan bengkel sulaman manik yang disertai 35 peserta terdiri daripada ibu tunggal dan golongan berpendapatan rendah.
Bengkel dua hari itu mendapat tunjuk ajar daripada tenaga pengajar mahir iaitu Hirza Aziz dari Terengganu yang berpengalaman luas dalam bidang sulaman manik. Ibu tunggal, Rosiah Hashim, 56, berkata, pengalaman luas dalam bidang jahitan pakaian wanita lebih memudahkan dia mendalami teknik membuat sulaman manik.
Menurutnya, walaupun tidak mampu mempelajari semua 20 jenis sulaman, dia tetap gembira apabila berjaya belajar lebih daripada lima jenis sulaman seperti bunga kekwa, bunga teratai, jalinan kasih dan jejari lipan.
Katanya, selain untuk hiasan pada baju wanita, sulaman manik boleh digunakan sebagai penyeri alas meja selain hiasan dinding dan pelbagai lagi kegunaan.
"Saya memang meminati kerja tangan seperti sulaman manik. Oleh itu, peluang bengkel ekonomi yang dianjurkan Jaip saya manfaatkan untuk mendalami teknik membuat sulaman manik.
"Pakaian wanita yang mempunyai sulaman manik akan lebih berseri dan menarik. Justeru, saya sering membuat sulaman manik apabila mendapat tempahan," katanya yang lebih enam tahun bergelar ibu tunggal.
Rosiah yang berpengalaman lebih 26 tahun menjahit pakaian wanita berkata, baju kurung yang terdapat sulaman manik boleh dijual sehingga RM300 sepasang bergantung kepada jenis kain dan sulaman.
Rakannya, Sofiah Saad, 56, berkata, usaha Jaip memberi kemahiran kepada ibu tunggal Felda Bukit Sagu ini mampu memberi pendapatan tambahan kepada golongan berkenaan.
Dia akui menghasilkan sulaman manik tidak memerlukan modal yang besar, hanya dengan RM50, pelbagai jenis sulaman dapat dihasilkan bergantung kepada kebolehan seseorang.
"Saya akan berusaha memperkenalkan sulaman manik yang ada kepada mereka yang meminati hiasan berkenaan. Apa yang diharapkan pada masa akan datang, lebih ramai lagi wanita tertarik dengan sulaman manik.
"Permintaan yang menggalakkan akan memberi pendapatan tambahan kepada golongan ibu tunggal yang mengusahakan aktiviti berkenaan," katanya yang berusaha menambahkan lagi kemahiran.Bagi Siti Habibah Omar, 47, minat yang mendalam memberi lebih peluang kepada seseorang itu mendapat kemahiran dalam bidang sulaman manik.
"Baju kurung yang dihiasi dengan sulaman manik akan lebih menarik dan akan menyerlahkan lagi mereka yang memakainya terutama apabila menghadiri majlis rasmi," katanya.
Kemahiran sulaman manik yang diperoleh pada bengkel ekonomi anjuran Jaip ini akan memperkembangkan lagi aktiviti menjahit pakaian wanita yang diusahakannya lebih 15 tahun lalu.
Sementara itu, Pengarah Jaip, Datuk Abdul Manan Abdul Rahman berkata, Unit Dakwah Jaip akan terus mengadakan program Peramah membabitkan semua daerah di negeri ini.
"Kami sudah mengadakan tiga program Peramah iaitu di Kuantan, Jerantut dan Rompin. Selain bengkel ekonomi untuk ibu tunggal, pelbagai aktiviti lain diadakan seperti ziarah dakwah, sumbangan dan ceramah agama.
"Selain bertanggungjawab dalam bidang keagamaan, kami tidak ketinggalan membela nasib golongan ibu tunggal dan wanita termasuk pesakit kronik," katanya yang akan turut sama setiap kali Peramah diadakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: