Sunday, May 9, 2010

Sisi feminin Kimora Lee


KIRI : Aoki Lee,Kenzo Lee Hounsou, Kimora, Ming Lee


WANITA ini dilihat seorang yang dominan dalam semua hal. Wataknya diberikan warna lut sinar dalam program Kimora: Life in the Fab Lane. Dia tidak menyembunyikan sikapnya yang kadangkala terlalu mengarah dan terlampau cerewet kerana itulah dirinya yang sebenar.

“Seorang wanita adalah ibu, kakak, usahawan atau pengusaha perniagaan.

“Wanita boleh melakukan banyak perkara dan lebih penting lagi mereka melakukannya dengan kelembutan dan penuh gaya,” ujar Kimora Lee Simmons, model yang mula mencipta nama sejak usia 13 tahun.

Pernah menjadi mangsa buli di sekolah hanya kerana ketinggian yang melampau, kini dia membuktikan bahawa kata-kata kesat yang pernah diterimanya boleh bertukar menjadi perangsang untuk berjaya.

Buktinya dia mencipta nama besar sebagai model, penulis, usahawan, pereka fesyen dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Baby Phat Jean.

Kimora: Life in the Fab Lane, sebuah siri televisyen yang kini memasuki musim ketiga di saluran 711 ini disiarkan setiap hari Selasa pukul 10.20 malam.

Siri realiti ini mempamerkan jalan hidup dewasa dan kematangan Kimora membawa tugasan ibu kepada tiga orang anaknya, Ming Lee, 10, Aoki Lee, 8, dan Kenzo Lee Hounsou, setahun.

Dalam kecerewetan dan sikap seorang bos yang kadangkala menjengkelkan, terselit sisi keibuan Kimora yang sangat mengutamakan keluarga dan anak-anak.

Malah mereka juga tidak lari daripada tugasan sebagai keluarga yang gemar beramal.

“Saya dan anak-anak perempuan saya akan masuk ke dalam bilik tidur dan mencari baju serta permainan yang boleh kami dermakan.

“Saya percaya semua kanak-kanak boleh membantu, cuma yang membezakan adalah kecil atau besarnya pertolongan mereka,” ujarnya yang mendidik anak-anak mengenal kesusahan individu lain.

Kimora yang bertemu cinta keduanya, Djimon Honsou selepas bercerai dengan Russell Simmons kini semakin mempamerkan cinta dan kasih sayang sebagai seorang wanita dan ibu.

Honsou dianggap sebagai pemberi semangat ketika Kimora berdepan dengan masalah perceraiannya.

“Saya tahu wanita di luar sana terutamanya yang mempunyai anak memahami keadaan saya.

“Sukar untuk berdepan dengan perpisahan dan saya bersyukur bertemu dengan seseorang yang bertindak sebagai sistem pendokong semangat saya,” ujarnya yang bercerai dengan Russel pada Januari 2009 selepas dua tahun bergelar suami isteri.

Wanita berusia 35 tahun yang memiliki darah campuran Asia dan Afrika-Amerika ini bersyukur mendapat hak penjagaan sepenuhnya terhadap kedua-dua anak perempuannya.

Wanita kelahiran Missouri, Amerika Syarikat ini menolak stigma diva ekstrem yang dilemparkan kepadanya.

“Saya hanyalah seorang ibu yang sangat dedikasi terhadap anak-anak saya. Saya juga seorang wanita yang baik hati, kelakar dan kuat bekerja.

“Paling penting ialah saya sentiasa menjaga dan mengawal anak-anak saya.

“Saya juga memberi tunjuk ajar tentang cara kehidupan glamor yang saya lalui,” akuinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: