![]() |
| Rekaan kurung moden dengan kain bertingkat yang nampak lebih eksklusif dan anggun. |
Menjelang musim perayaan yang akan tiba tidak lama lagi, kebanyakan butik pakaian sudah pun membuat persiapan menyediakan rekaan-rekaan fesyen terbaru bagi memenuhi kehendak pelanggan.
Sebenarnya persiapan ini sudah dilakukan sejak tiga bulan lalu seperti membeli fabrik daripada pembekal-pembekal kain, menghasilkan rekaan terbaru, memotong, menjahit baju dan menjahit manik.
Pemilik Jueis Collection, Junida Ismail juga kini sudah mulai sibuk dengan penyediaan fesyen-fesyen terbaru untuk musim perayaan seperti hari raya yang sudah semakin hampir.
Ketika berkunjung ke butiknya baru-baru ini, beliau menunjukkan beberapa rekaan fesyen terbaru yang sudah mula dijahit oleh beberapa orang kakitangannya.
Junida berkata, antara rekaan terkini yang dijangka mendapat sambutan ialah fesyen kurung Pahang yang telah diubah suai agar tampak lebih kontemporari dan mengikut peredaran masa.
''Kurung Pahang atau dipanggil juga kurung pesak betawi atau pesak gantung ini mempunyai leher cekak musang dan lima lubang tebuk seakan-akan leher baju Melayu. Baju ini tidak dipakai bersama kain tetapi bersama seluar berpotongan palazzo.
''Saya yakin rekaan ini akan mendapat sambutan kerana selesa dipakai bersama seluar dan mudah untuk bergerak. Ia amat sesuai digayakan di banyak tempat seperti di rumah, berkunjung ke rumah saudara-mara dan sahabat handai, balik kampung di mana baju yang selesa menjadi pilihan dalam perjalanan yang lama dan jauh atau ke mana sahaja.
''Ia nampak sopan, eksklusif dan elegan apatah lagi bahagian hadapan baju dijahit dengan manik dan jemeki. Setiap jahitan manik dibuat dengan halus dan rapi. Terdapat beberapa rekaan jahitan manik yang boleh dipilih pelanggan sama ada jahitan yang ringkas atau lebih bercorak,'' kata Junida.
Menurutnya, fabrik jenis syifon menjadi pilihan kerana fabrik ini lembut dan selesa. Pelanggan boleh memilih warna-warna pilihan masing-masing seperti hitam, putih, merah jambu, hijau pucuk pisang, ungu, jingga dan kelabu.
Selain rekaan tersebut, Junida tidak lupa menghasilkan baju kurung yang menjadi pilihan utama untuk dipakai di pagi raya. Baju kurung ini dibuat daripada beberapa jenis fabrik seperti benang kapas India, satin, sutera, renda dan banyak lagi.
''Pelanggan boleh membeli pakaian yang telah siap yang banyak disediakan di butik ini atau menempah mengikut ukuran badan sendiri," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: