Monday, May 10, 2010

Sentral: Laluan pintas 'maut'

LALUAN bahaya digunakan golongan wanita mengambil anak mereka yang  belajar di kelas prasekolah setiap hari.
LALUAN bahaya digunakan golongan wanita mengambil anak mereka yang belajar di kelas prasekolah setiap hari.
Tindakan penduduk bina jambatan sementara dengan 4 cerucuk konkrit

BATANG KALI: Sanggup menghadapi risiko. Penduduk terpaksa menggunakan jambatan sementara sebagai laluan pintas menghantar anak ke sebuah tadika di Fasa 3, Bandar Utama Batang Kali dekat sini, setiap hari.Walaupun jambatan ini tidak selamat digunakan, penduduk terpaksa menggunakannya kerana tidak ada pilihan lain. Dengan hanya meletakkan empat cerucuk konkrit yang diperoleh dari sisa binaan, jambatan ini tidak selamat untuk dilalui. Tinjauan Sentral juga mendapati kanak-kanak yang melaluinya dengan berlari tanpa dipimpin ibu bapa adalah berbahaya dan boleh mengundang padah pada bila-bila masa.

Malah, di setiap cerucuk konkrit itu ada besi tertanam pada bahagian hujung dan pangkalnya dan amat berbahaya khusus kanak-kanak.

Jika itu berlaku, sudah tentu kanak-kanak malang itu akan terjatuh ke dalam longkang sedalam satu setengah meter.

Seorang penduduk, Umar Mokhtar, 33, berkata, dia bimbang dengan keselamatan kanak-kanak yang melalui jambatan itu kerana dikhuatiri akan terjatuh.
Menurutnya, tidak ada penduduk yang mampu menjamin keselamatan kanak-kanak yang melalui jambatan itu kerana strukturnya yang tidak kukuh dan kecil serta tidak dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan.

“Sebenarnya laluan ini sengaja dibina penduduk bagi memudahkan mereka melintasi longkang selebar tiga meter untuk ke laluan bersebelahan.

“Penduduk terpaksa berjalan jauh dan perlu mengelilingi taman semata-mata untuk ke tabika ini atau ke masjid berdekatan,” katanya kepada Sentral di sini, semalam.

Umar berkata, walaupun tindakan penduduk itu dilihat memberi kemudahan kepada pejalan kaki, tetapi keadaannya salah dan mengundang risiko terhadap keselamatan kanak-kanak.

Katanya, jambatan itu bukan hanya digunakan ibu bapa yang menghantar anak ke tabika, juga dilalui pelajar dan kebanyakan penduduk yang ingin ke masjid berdekatan.

Beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) memandang serius perkara itu dan melakukan sesuatu untuk kebaikan penduduk.

Sementara itu, Halimah Saidun @ Syed, 48, berkata penduduk tidak ada cara lain, selain melalui jambatan yang dibina dua tahun lalu itu untuk ke sebelah.

Katanya, sebelum adanya besi cerucuk konkrit itu, penduduk hanya melalui batang paip air yang ada di situ yang lebih berisiko jika terjatuh.

Katanya, penduduk pernah mencadangkan supaya dibina jambatan kekal yang lebih selamat, tetapi sehingga kini masih tidak dapat dilaksanakan berikutan tiada pihak yang mengambil serius mengenai perkara itu.

P Kalaiwati, 37, berkata laluan pintas ke situ amat diperlukan penduduk dengan segera kerana penggunaannya amat meluas kepada mereka.

Katanya, faktor keselamatan perlu difikirkan mereka yang terpaksa menggunakan laluan maut itu setiap hari.

"Kami merayu perkara ini diberi perhatian agar tindakan wajar diambil dengan segera. Kebajikan penduduk taman ini perlu diberi keutamaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: