
Biarpun Rosyam Nor sudah terlalu lama dan boleh dikatakan sudah ‘tepu’ dengan watak hero, namun, itulah kelebihan yang ada pada dirinya. Ketika ditanya adakah dia sengaja memilih watak hero sahaja dan menolak watak pembantu sekiranya ditawarkan, Rosyam hanya tersenyum.
“Sepanjang penglibatan saya dalam bidang lakonan, saya tak pernah meminta untuk jadi hero. Saya tak pernah kejar watak utama dalam apa sahaja tawaran. Tapi, sudah diberi watak hero, saya terima sahajalah. Tak kan nak tolak pula. Itu namanya rezeki.
“Lagi pula ia adalah permintaan stesen TV ataupun syarikat produksi filem. Saya hanya mengikut sahaja kerana bidang seni inilah periuk nasi saya. Jadi saya perlu beri komitmen yang tinggi.
“Setakat ini, saya mendapat respons yang baik daripada semua. Walaupun saya selalu jadi hero, tak ada pula pihak yang kurang senang. Cuma prinsip saya, sentiasa berikan yang terbaik.
“Tapi, setiap lakonan, tak kira watak apa, semua pun mesti beri yang terbaik untuk jadi terbaik. Kadang-kadang ada hero yang kurang berkesan wataknya, tapi pembantu yang lebih bagus.
“Janganlah salah anggap pula. Bukan saya tolak tawan jadi pembantu, tapi tak ada tawaran pun,” katanya pada sidang media drama bersiri Gelora di Hati Sara di Finas, baru-baru ini.
Drama bersiri Gelora Di Hati Sara yang ditayangkan tahun lalu telah berjaya mendapat tempat di hati penonton. Kini drama bersiri yang menggandingkan ‘hero Malaya’ ini dengan Fauziah Latiff kembali meruntun jiwa para penontonnya buat kali kedua.
Drama 26 episod ini yang berjaya mencapai antara rating tertinggi di RTM sebanyak 1.4 juta penonton ini kembali beraksi di pentas atas desakan penonton dan RTM.
“Saya agak terkejut dengan pencapaian drama ini. saya berharap siri kedua ini akan dapat menyamai rekod lama itu. Sebagai penerbit, saya sudah lakukan yang terbaik untuk Gelora Di Hati Sara 2 ini.
“Saya sangat berterima kasih kepada mereka yang menyokong kerja kami selama ini. Saya berharap garapan kali ini akan membuahkan hasil yang sama dengan siri pertama. Para pelakon juga turut saya kekalkan kerana saya tak mahu ia lari daripada cerita asal.
“Cuma kali ini lebih banyak bermain dengan emosi dan penonton akan dapat mengetahui apa akan berlaku kepada saya dan Gee,” katanya.
Selain Rosyam Nor dan Gee, pelakon lain yang turut sama membintangi drama ini ialah Mahmud Ali Bashah, Balkish, Dian P Ramlee, Datuk Rahim Razali dan Norman Hakim.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: