Sunday, May 9, 2010

Rusuh jiwa, hilang nyawa


GRUP Slank sentiasa melemparkan pesan sosial tetapi masih belum dijana sepenuhnya oleh peminat mereka hingga masih membuat rusuhan di tapak konsert.


SECARA logiknya, sesebuah konsert dihadiri kerana mahu berhibur dan menikmati muzik apatah lagi jika ia konsert penyanyi pujaan.

Namun, apabila 'hantu' menguasai diri, konsert yang sepatutnya bermandikan alunan muzik akhirnya bertukar menjadi medan berdarah yang meragut nyawa.

Menyorot kembali mimpi ngeri sebuah konsert, konsert The Great White yang diadakan di West Warwick, Rhode Island pada tahun 2003 merupakan insiden yang paling ngeri.

Masalah pyroteknik telah menyebabkan kematian 100 penonton manakala 180 lagi cedera.

Grup The Who pula terpaksa berdepan dengan kematian 11 orang peminatnya sewaktu konsert di Cincinnati, Ohio, Amerika Syarikat pada tahun 1979.

Berikut merupakan beberapa konsert yang berakhir dengan insiden tragis.

Konsert Celcom Sukses Muzik Fiesta

Tempat: Tempat letak kereta, Bukit Jalil

Artis terlibat: The Rock, Slank, Iwan Fals dan Mulan Jameela

Korban: Seorang lelaki cedera parah

Fakta: Konsert Celcom Sukses Muzik Fiesta yang menampilkan majoriti grup Indonesia pada 2 Mei lalu di Bukit Jalil bertukar menjadi medan pergaduhan warga Indonesia.


LOKASI kematian 52 penonton konsert hari kemerdekaan Belarus iaitu sebuah stesen kereta api bawah tanah di Minsk.


Akibatnya, seorang lelaki berusia 29 tahun cedera parah selepas ditetak di leher, lengan kiri dan tapak tangan kanan. Dia terpaksa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, seramai 16 individu yang terlibat dalam pergaduhan itu ditahan.

Pihak polis turut merampas 24 bilah parang, tiga bilah celoret, lima batang tukul besi, 12 tali pinggang buku lima dan 27 batang besi.

Konsert yang bermula pada pukul 5 petang itu terpaksa dihentikan awal dengan Iwan Fals hanya sempat menghiburkan penonton dengan dua buah lagu.


KONSERT metal di Bandung menyesakkan 10 penonton lalu bertemu ajal di dalam gedung tersebut.


Kekecohan bermula pada sebelah malam apabila segelintir penonton membaling botol minuman sehingga menimbulkan perselisihan faham yang kemudian membawa kepada pergaduhan bersenjata.

Konsert metal dan pelancaran album

Tempat: Gedung Kebudayaan Asia Afrika (AACC), Jalan Braga, Bandung, Indonesia

Artis terlibat: Beside, Burgerkill

Korban: 10 orang maut

Fakta: Konsert metal yang diadakan di Bandung ini meninggalkan kesan hitam buat penonton dan pemuzik yang terlibat pada 9 Februari 2008.

Seramai 10 penonton mati akibat sesak nafas. Rata-rata yang menemui ajal adalah remaja berusia 16 hingga 20 tahun.

Gedung yang hanya dapat memuatkan 500 penonton dipadatkan dengan bilangan yang berlebihan iaitu sehingga 800 orang.

Malah, beberapa individu yang pengsan dilaporkan hanya dibiarkan di tepi lorong tanpa sebarang bantuan khas.

Peristiwa tolak-menolak dan pergaduhan di konsert ini bermula semasa pihak penganjur menghambat penonton keluar dari gedung tersebut.

Suasana berebut keluar dari gedung tersebut menyebabkan ada penonton sesak nafas dan pengsan sebelum dipijak penonton lain.

Konsert Popcoholic with Ungu

Tempat: Pekalongan, Indonesia

Artis terlibat: Ungu

Korban: 10 orang maut

Fakta: Konsert Ungu sering berakhir dengan insiden yang tidak diingini. Pada 30 Mac 2006, puluhan wanita pengsan sewaktu menonton konsert Ungu di Mojokerto, Jawa Timur, Indonesia.

Sembilan bulan selepas itu, Stadium Widya Mandala Krida, Kedungwuni, Pekalongan menyaksikan kematian 10 penonton konsert Popcoholic with Ungu.

Penonton menemui ajal kerana dipijak dan sesak nafas sewaktu puluhan ribu penonton berebut-rebut untuk keluar stadium selepas habis konsert.

Konsert Sheila On 7

Tempat: Lampung dan Banjarmasin

Artis terlibat: Sheila On 7

Korban: Sembilan orang maut

Fakta: Tahun 2000 dan 2004, grup Sheila On 7 yang terkenal dengan lagu-lagu seperti Dan, Sephia dan Kekasih Gelap berdepan mimpi ngeri.

Pada 19 November 2000, seramai lima peminat Sheila On 7 menemui ajal di bandar Lampung.


BARU hadir berkonsert di Malaysia 1 Mei lalu. Konsert Ungu tahun 2006 meragut 10 nyawa peminatnya.


Empat tahun selepas itu, empat penonton di Stadium Lambung Mangkurat, Banjarmasin pula maut, juga akibat sesak nafas.

Konsert yang diadakan di Kafe Republik, Malioboro, Jogjakarta itu telah terlebih penonton. Kapasiti 250 orang di dalam kafe tersebut telah disumbatkan dengan 450 penonton.

Konsert Peterpan

Tempat: Stadium Harapan Bangsa Lhongraya Kota Banda Aceh dan Stadium Bima, Cirebon, Indonesia

Artis terlibat: Peter Pan

Korban: 30 orang remaja perempuan pengsan

Fakta: Sewaktu konsert di Aceh pada 22 Februari 2006, seramai 30 penonton pengsan kerana sesak nafas.

Perkara yang sama berlaku lagi pada tahun yang sama. Semasa mengadakan konsert di Stadium Bima, Cirebon pada 11 April 2006, satu rusuhan berlaku.

Penonton bertindak melontarkan batu ke arah sesama mereka hingga menyebabkan belasan penonton dikejarkan ke hospital. Malah, vokalis kumpulan tersebut turut terkena batu di dada.

Konsert Metallica

Tempat: Bogota, Columbia

Artis terlibat: Metallica

Korban: 170 individu ditangkap

Fakta: Rusuhan di konsert Metallica pada 16 Mac lalu menyebabkan sejumlah 170 orang ditahan manakala empat peminat dan empat anggota polis cedera ditusuk pisau.

Ratusan penggemar grup asal Amerika Syarikat ini yang hadir di tapak konsert di Taman Simon Bolivar telah berusaha melanggar pagar polis. Seramai 1,500 anggota polis dikerah mengawal keadaan sepanjang konsert itu berlangsung.

Konsert Hari Kemerdekaan Belarus

Tempat: Minsk, Belarus

Artis terlibat: Grup Mango Mango dan artis Rusia

Korban: 52 maut, 150 cedera

Fakta: Konsert sambutan hari kemerdekaan di Belarus pada tahun 1999 adalah antara konsert yang paling tragik dalam sejarah.

Ribut hujan batu yang tiba-tiba melanda kawasan konsert tersebut telah menyebabkan penonton lari bertempiaran untuk mendapatkan perlindungan.

Sewaktu masing-masing cuba berebut untuk meneduhkan diri di kawasan stesen kereta api bawah tanah, kecelakaan terjadi hingga menyebabkan 52 orang maut dan 150 lagi cedera.


KONSERT Peter Pan di Malaysia berlangsung dengan aman tetapi Ariel pernah dilempar batu ketika di Cirebon, Indonesia.


Majoriti mangsa yang terlibat berusia antara 14 hingga 18 tahun dengan 42 orang terdiri daripada gadis remaja dan dua orang polis yang cuba mengawal keadaan. Mereka dilaporkan mati kerana sesak nafas.

Festival Muzik Mawazine

Tempat: Maghribi

Artis terlibat: Abdelaziz Stati, Kylie Minogue, Sergio Mendes,

Korban: 11 maut dan 30 cedera

Fakta: Sebuah festival muzik di Maghribi bertukar tragedi apabila 11 penonton kebanyakannya kanak-kanak dan wanita menemui ajal pada 25 Mei 2009.

Insiden tersebut berlaku sewaktu 70,000 penonton hadir di Stadium Hay Nahda untuk menyaksikan persembahan artis terkenal Maghribi, Abdelaziz Stati.

Mengikut laporan, beberapa penonton bertindak memanjat pagar berduri, menyebabkan pagar itu terjatuh hingga menimbulkan kekecohan.

Festival Mawazine itu turut menyaksikan persembahan Stevie Wonder, Kylie Minogue dan Sergio Mendes.

Festival Roskilde

Tempat: Denmark

Artis terlibat: Pearl Jam

Korban: Lapan maut dan 25 cedera

Fakta: Konsert grup Pearl Jam yang dihadiri 50,000 orang berakhir dengan lapan kematian selepas beberapa penonton bertindak liar dengan menolak dan memanjat sesama sendiri.

Grup yang berasal dari Seattle, Amerika Syarikat itu terpaksa membatalkan beberapa konsert mereka ekoran tragedi tersebut.

Rata-rata mangsa yang terlibat adalah lelaki dan mereka dikatakan terjatuh ke dalam lumpur lalu lemas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: