KISAH yang dipaparkan ini benar-benar menyentuh hati nurani sesiapa saja yang bergelar ibu. Bukan kerana kisah ini terjadi ke atas seorang wanita, tetapi luah rasa terkilan pemilik tubuh longlai dan bermuka pucat lesi ini terhadap perbuatan anak-anaknya, amat menginsafkan.
Benar kata pepatah, seorang ibu boleh menjaga sepuluh anak tetapi seorang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu. Itulah yang membelenggu diri Susila (bukan nama sebenar).
Malah Hari Ibu yang meriah diraikan tidak memberi apa-apa makna kepadanya.
Dalam zaman yang mengejar erti kebendaan dan kemewahan rupa-rupanya turut membataskan hasrat seorang ibu untuk melihat anak-anak yang dijaga dengan kasih sayang dahulu, menghulurkan simpati mahupun rasa hormat kepada dirinya.
Wanita yang berasal dari Melaka ini, baru sahaja berusia 51 tahun. Bagi yang masih mampu bekerja, pada umur begini tentulah apabila bersara nanti bakal menikmati keindahan kehidupan pada hari tua bersama anak dan cucu.
Namun wanita yang mempunyai enam orang anak berusia di antara 33 hingga 12 tahun termasuk dua anak angkat ini, kini tidak mampu lagi untuk menggerakkan kudratnya atas faktor kesihatan yang mengekang dirinya untuk terus bekerja.
“Dahulu saya bekerja dalam bidang insurans dan agak berjaya namun bersara pada tahun 2007 kerana menghidap sakit saraf yang kronik di samping kanser dan leukemia. Tiada majikan yang sukakan pekerjanya asyik keluar masuk. Tambahan, saya juga tiada daya upaya. Bila berdiri lama saya akan pengsan tiba-tiba.
“Dalam setahun saya perlu melakukan pemindahan darah sebanyak dua kali. Setakat ini saya telah melakukan sembilan kali pembedahan termasuk membuang kedua-dua belah payu dara,’’ jelasnya yang mengakui duit simpanannya telah habis bagi tujuan perubatan dan menyara anak-anak yang masih bersekolah.
Tambahnya, bekas suaminya ada juga datang membantu menghulurkan sumbangan tetapi memahami keadaan suaminya yang telah mempunyai keluarga baru, tentulah tidak mampu untuk mengeluarkan perbelanjaan lebih.
Setakat ini tambah Susila, dia mendapat pembelaan sebagai asnaf zakat sebanyak RM250 sebulan dan duit perubatan sebanyak RM150.
Apabila penulis bertanya, di manakah tanggung jawab anak-anak dalam melihat keadaan ibunya seperti itu, Susila sebak.
Jawabnya tulus, tiga orang anaknya yang telah berkeluarga kini tidak lagi menghantar berita.
“Anak saya yang sulung adalah lelaki. Dia menjadi harapan saya. Tetapi selepas berkeluarga dia tidak lagi menjenguk saya. Malah mendengar khabar daripadanya juga tidak. Apatah lagi menghulur duit untuk saya yang sakit ini,’’ jelasnya sayu.
Apa yang menyedihkan, anak lelakinya itu pernah menamparnya kerana menuduhnya mencuri duit yang dikumpulkan hasil penjualan kuih yang dilakukan secara kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan harian.
“Saya tahu dia yang melakukannya, namun tidak mengaku. Anak perempuan saya yang berada di salah sebuah negeri di pantai timur juga tidak pulang-pulang ke rumah. Cuma anak perempuan yang seorang lagi ada menjenguk saya sekali sekala. Itu pun setelah dia dalam proses bercerai dengan suaminya,’’ ceritanya panjang.
Bagi Susila, dia sebenarnya tidak mahu mengganggu kerukunan rumah tangga yang dibina anak-anak.
Apa yang penting bagi ibu tunggal ini ialah pertanyaan khabar daripada anak-anaknya kerana dia amat merindukan mereka.
“Tanyalah khabar saya yang terpaksa berdikari walaupun sedang sakit, kudrat untuk bekerja pun tidak ada. Mereka anak-anak saya yang telah saya didik, telah bekerja dan memahami tentang agama.
“Saya kadang-kadang rasa sebak, apabila melihat anak orang lain yang mempunyai rasa tanggung jawab dan hormat terhadap ibu dan bapa mereka, tetapi anak-anak saya seolah-olah menjauhkan diri daripada saya,’’ katanya.
Susila yang membela dua orang anak angkat juga berharap pada suatu hari nanti mereka dapat membela nasibnya.
“Macam mana pun mungkin sudah nasib saya. Ada anak tak jenguk dan tak bantu. Apa pun selagi terdaya saya akan cuba menyekolahkan tiga orang anak lagi kerana itu sudah menjadi tanggung jawab saya.
“Saya pasrah dengan sikap anak-anak saya. Saya kecewa. Andainya saya meninggal dunia nanti, tidak usah dikhabarkan berita kepada mereka, terus sahaja dimandi, kafan dan bawakan ke kubur kerana sekarang pun mereka tidak mengambil peduli hal saya ’’ katanya mengakhiri perbualan.
Susila kini menerima bantuan berkala daripada Rumah Amal Limpahan Kasih iaitu sebuah rumah menempatkan anak-anak yatim, ibu tunggal dan asnaf di Puchong, Selangor.
Sekiranya anda ingin membantu wanita ini bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi talian 018-2573133 (Rumah Amal Limpahan Kasih).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: