Monday, May 10, 2010

Restoran buluh konsep 2 dalam 1


Mior Shariman berbangga dengan restoran konsep bilik pameran yang baru dirasmikan April lalu.


LAZIMNYA apabila kita duduk di mana-mana restoran, pelayan akan memberikan senarai menu untuk kita memilih masakan yang menepati selera tekak kita. Memang betul, tapi pernahkah anda pergi ke restoran yang memberikan anda bukan sahaja menu makanan tapi juga 'menu' perabot yang ada di dalam restoran tersebut.

Jadi jika anda berkenan pada set meja makan yang anda sekeluarga sedang duduki, cakap saja pada pelayan bahawa anda ingin membeli set tersebut. Anda bukan sahaja dapat merasai keselesaan perabot tersebut ketika menikmati makanan, satu pengalaman unik yang tidak akan anda nikmati sekiranya mengambil keputusan membeli perabot di kedai perabot biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Istana Bambu Sdn. Bhd., Mior Shariman Moksin berkata, idea restoran dua konsep itu timbul sejak dia mula-mula terbabit dalam perniagaan perabot berasaskan buluh.

"Bukan senang untuk menarik pelanggan masuk ke dalam kedai perabot, tapi apabila ia dijadikan restoran tentu dapat dua dalam satu," katanya ketika ditemui di restorannya baru-baru ini.

Dibina di atas tanah berkeluasan 10 ekar, ia bukan sekadar restoran yang menjual makanan tapi juga menjual konsepnya sekali.

Terletak di Lebuh Raya Lingkaran Tengah Dua (MRR2), bertentangan dengan susur masuk Keramat AU, Restoran Istana Bambu memang ada perbezaannya.

Mior berkata, tujuan utama restoran ini dibuka ialah untuk mengubah persepsi orang terhadap buluh sebagai bahan binaan yang tahan lasak dan praktikal.

Malah Mior juga dalam proses membangunkan dewan, tempat seminar, ruang perkahwinan berkonsep taman dan calet di atas tanah yang sama.

Menariknya Restoran Istana Bambu ini juga menyediakan batas sawah yang bukan hanya sekadar untuk dilihat tapi juga boleh 'dikerjakan' oleh pengunjung yang berminat.

"Bila tiba musim menuai, memang kami akan buka ruangan tersebut untuk pengunjung bersama keluarga merasai suasana menuai yang amat sukar dirasai generasi bandar hari ini. Bukan itu sahaja, pengunjung juga berpeluang melalui proses sehingga beras terhasil dan beras tersebut akan dimasak menjadi nasi di dalam buluh untuk dinikmati sekeluarga," ujarnya yang baru sahaja melancarkan pembukaan restoran tersebut sebulan lalu.

Selain aktiviti bersawah, persekitaran restoran bambu juga dilengkapi kemudahan seperti surau yang juga diperbuat dari buluh. Istimewanya surau yang diperbuat dari buluh ini memang cantik dan bersolat di dalamnya terasa nyaman tanpa perlu menggunakan kipas.

Kebetulan sewaktu sesi fotografi dijalankan, hujan turun renyai-renyai, satu suasana yang penulis rasa amat sentimental dengan cucuran air hujan menitis pada setiap juraian atap restoran buluh yang diperbuat dari daun lalang kering. Apatah lagi bila melihat air hujan yang turun pada batasan sawah memang satu pengalaman manis yang menyentuh kalbu.

Terdapat juga kolam ikan yang dipenuhi dengan pohon teratai yang indah, sekali imbas terasa seperti berada di negara Jepun pada masa lampau.

Jika anda masih berada di restoran tersebut pada waktu petang, ada akan berpeluang melihat matahari turun dalam kedudukan tepat dari arah hadapan restoran, satu pemandangan yang tidak mudah dinikmati di tempat lain.

Selain itu, para pelanggan boleh memilih untuk menikmati hidangan secara duduk di kerusi atau bersila di lantai, dalam kumpulan yang besar atau mahukan suasana yang lebih privasi semuanya ada disediakan di sana.

Selain perabot dari buluh, seri dekorasi di Restoran Istana Bambu dinaikkan dengan penggunaan kain tirai organza berwarna putih bersih. Terdapat juga sejenis peralatan muzik angklong dari pelbagai saiz yang diletakkan di ruang masuk restoran tersebut. Jika berbakat anda dipersilakan cuba mengalunkannya.

Bukan setakat perabot dan binaan restoran yang diperbuat daripada buluh, tempat mencuci tangan juga istimewa dari buluh. Malah tandas dan ruang kaunter pembayaran-nya juga dibina dari buluh.

"Konsep ini telah menarik usahawan dari beberapa negara seperti di Kuwait dan Iran, saya ingin mengalu-alukan rakyat Malaysia yang ingin menjadi usahawan bolehlah mencuba dengan buluh ini kerana kami mempunyai teknologi untuk memastikan ia tahan lama dan lasak. Selain ketahanannya yang paling penting ia mempunyai nilai estetika yang tiada bandingannya," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: