
SEKITAR tahun 1992, lagu Syakila pernah memuncakkan nama Razzi Rahman dan ketika itu dia antara lelaki yang menjadi pujaan wanita.
Rentetan perhatian terhadapnya berterusan dan sebuah lagi single popularnya, Ke Dasar Cintamu dipinjamkan mengisi lagu tema sebuah filem box office, Putera lakonan Joe Wings dan Vanida Imran.
Berbelas tahun berada jauh daripada lensa kamera, tahun 2010 menjadi titik kelahiran semula Razzi Rahman.
Kali ini dia tidak keseorangan sebaliknya bersekutu dengan Irfan Khairi, peniaga Internet yang pernah membuka mata ramai apabila berjaya bergelar jutawan ketika usia masih muda.
Razzi dan Irfan bergabung menerusi sebuah mini album berjudul Razzi Rahman Irfan Khairi (RRIK).
Menonjolkan muzik berkonsep pop rock, khidmat Irfan bukanlah sebagai pelantun suara sebaliknya bertindak sebagai pencipta lirik dan bermain gitar selain turut menabung dana.
Perkenalan dengan Irfan atas jalinan perniagaan kira-kira empat tahun lalu mencetuskan inspirasi untuk Razzi kembali ke dunia seni setelah perniagaan minuman kesihatan dan penulisan buku cintanya di Kota Bahru, Kelantan di tahap stabil.
"Sejak sama-sama terlibat dengan perniagaan, kebetulan kami sama menjalankan bisnes menerusi Internet, kami mulai rapat kerana mempunyai hobi yang sama terutamanya bermain muzik.
"Bermain muzik sekadar hobi bertukar menjadi idea untuk menghidupkan peluang lain dalam bisnes kami, akhirnya dua tahun lepas kami terfikir untuk serius dalam penciptaan lagu dan kembali menjadi pemain dalam industri muzik," ujar Razzi.
Atas bantuan Razzi, Irfan berhasil mencipta lagu Voice of Gaza yang telah dimuat turun di Youtube.
"Mulanya suka-suka tapi kami fikir, bidang ini boleh dijadikan antara produk dalam bisnes kami.
"Boleh juga dimasukkan sebagai agenda setiap kali kami keluar mempromosikan produk kami di majlis-majlis tertentu," tambah Irfan.
Mahu mengubati rindu peminatnya menerusi mini album yang telah dipasarkan menerusi Intenet itu, Razzi kembali dengan tiga single terbaru iaitu Kerana, Misteri dan Akustik Sepi.
Bagi yang berminat membeli lagu-lagu daripada album tersebut, boleh berbuat demikian secara muat turun menerusi laman sesawang www.razzirahman.com/muzik.
Sebuah lagu hanya RM3 manakala untuk memuat turun keseluruhan lagu dalam album tersebut adalah RM10.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: