![]() |
| RAHIM Razali (dua dari kiri), Mohamed Juhari Shaarani (tiga dari kiri) dan Haslina Usman bersama-sama sebahagian daripada pelakon teater muzikal Uda dan Dara pada sidang akhbar di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
NASKHAH Uda dan Dara nukilan Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang barangkali sudah boleh dianggap sebagai sebuah naskhah yang cukup agung. Kisah cinta yang dipaparkan dalam Uda dan Dara begitu suci dan luhur - tidak seperti kisah cinta lain yang menyelitkan elemen murahan yang menjelikkan.
Walaupun ia memaparkan kisah percintaan antara dua anak muda tetapi ia tetap berpaksikan kepada nilai budaya Melayu yang cukup tinggi.
Di sebalik kisah cinta mereka, Uda dan Dara juga memaparkan cerita yang berlaku dalam persekitaran masyarakat Melayu ketika itu.
Penindasan dan keagungan darjat yang diangkat juga merupakan intipati kepada kekuatan cerita Uda dan Dara sehingga berupaya menjadi mahakarya Usman.
Kalau ada yang mengatakan kisah Uda dan Dara sudah ketinggalan, sila betulkan persepsi itu kerana hakikatnya, ia masih lagi relevan sehingga ke hari ini.
Konvensional atau tidak, ia bukan satu masalah kerana itulah keunikan Uda dan Dara yang barangkali tidak terdapat dalam mana-mana kisah cinta pasangan yang lain.
Justeru, menyedari cinta Uda dan Dara masih lagi mekar dan membara dalam jiwa orang Melayu hari ini, sekali lagi kisah cinta agung itu akan dipentaskan.
Kali ini, bukan di pentas kecil seperti mana di awal kemunculannya hampir empat dekad lalu tetapi kisah Uda dan Dara akan dihidupkan kembali di pentas bertaraf dunia, Istana Budaya (IB).
Bakal dipentaskan selama 11 hari berturut-turut bermula 10 Julai ini, pastinya kisah Uda dan Dara yang diterbitkan dalam bentuk teater muzikal kali ini mampu menarik perhatian penonton untuk menontonnya.
Masih lagi ditangani oleh seniman terbilang, Datuk Rahim Razali selaku pengarahnya dan biarpun di dalam zaman milenium, Rahim menjanjikan keaslian jalan cerita teater muzikal Uda dan Dara akan terus kekal.
Cuma katanya, akan ada sedikit perubahan yang ditampilkan khususnya pada penghujung ceritanya seperti mana yang pernah dilakukan dalam pementasan teater Uda dan Dara pada tahun 1985 oleh Usman pada skripnya.
Daripada riak wajahnya, dapat dirumuskan Rahim sememangnya teruja dan gembira apabila mendapat peluang untuk mementaskan naskhah Uda dan Dara untuk sekian kalinya.
Bagi Rahim, yang paling mengujakannya apabila kisah cinta itu dipentaskan di IB yang menerbitkan keterujaan yang berbeza kepadanya.
Walaupun sudah berpuluh-puluh tahun terlibat dalam bidang seni dan mengarahkan Uda dan Dara sebelum ini, Rahim juga tidak dapat menolak cabaran yang harus ditempuhinya.
Kerana katanya, mengarahkan Uda dan Dara di pentas yang gah seperti IB memberikan satu pengalaman baru untuknya.
Betapa tidak, sebelum ini naskhah itu hanya dipentaskan di lokasi kecil dan kali ini, di lokasi yang yang cukup berprestij pula.
Namun, Rahim optimis dengan segala perancangan yang sudah diatur untuk merealisasikan Uda dan Dara di IB.
"Seperti mana yang kita tahu IB memiliki kemudahan infrastruktur yang cukup bagus dan baik.
"Kerana itu, saya begitu teruja untuk mementaskan naskhah ini di IB kerana mahu menggunakan kemudahan yang ada bagi memantapkan lagi teater muzikal ini.
"Semua ini saya anggap sebagai satu cabaran baru buat saya sebagai seorang pengarah teater khususnya untuk naskah ini.
"Namun begitu, keaslian Uda dan Dara dikekalkan kerana saya mahukan ia sebuah pementasan yang tidak akan dimakan dek zaman.
"Saya pasti ia akan menjadikan teater ini sebagai satu santapan yang menarik untuk ditonton kelak," katanya penuh optimis sewaktu ditemui pada sidang akhbar teater berkenaan di IB, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir ialah anak perempuan Usman, Haslina yang juga merangkap penerbit eksekutif Uda dan Dara serta Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani.
Malah, kehadiran empat daripada barisan pelakon teater ini turut memeriahkan sidang akhbar iaitu Radhi Khalid, Khir Rahman, Mazlan Tahir serta penyanyi dan pelakon terkenal, Misha Omar yang akan membawakan watak Dara.
Sewaktu mula dicanangkan Uda dan Dara akan dipentaskan kembali, ramai yang mula bertanya-tanya siapakah yang akan memegang watak pasangan itu.
Sesudah Misha terpilih, masalah yang timbul kini, siapakah aktor yang layak untuk bermain watak Uda?
Sebelum ini, nama Remy Ishak dilihat sebagai calon utama untuk berpasangan dengan Misha dalam teater muzikal ini dan sememangnya aktor kacak itu memang sesuai menjadi Uda.
Betapa tidak, Remy memiliki semua kriteria seperti yang dimahukan Rahim untuk memegang watak Uda iaitu seorang pemuda yang sarat keperibadian Melayunya.
Namun, memandangkan Remy kini begitu sibuk dengan kerjaya seninya, pihak produksi tidak boleh lagi menunggu lama kerana latihan intensif akan dimulakan pada bulan Jun ini.
Sehingga kini, masih lagi tiada pelakon lelaki yang dilihat layak untuk memeran watak Uda biarpun ada beberapa nama sudah menjalani sesi uji bakat.
Antaranya ialah Tony Eusoff dan Rashidi Ishak, tetapi kedua-duanya tidak menepati apa yang dikehendaki oleh Rahim.
"Kedua-dua mereka memang bagus baik dari segi lakonan, nyanyian dan tarian tetapi ciri-ciri pemuda Melayu itu kurang pada mereka.
"Bukan untuk merendah-rendahkan mereka tetapi saya memerlukan seorang figura yang dapat menggambarkan watak Uda seperti mana yang sama mahukan.
"Setakat ini, hanya ada seorang pelakon yang saya lihat ada ciri-ciri Uda itu dan dia yang saya maksudkan ialah Razali Hussain.
"Tetapi saya masih belum berkesempatan memanggilnya untuk sesi uji bakat," katanya panjang lebar.
Adakah kerana Rahim sendiri pernah memegang watak Uda menjadikan dia begitu cerewet dan selektif dalam memilih pelakon yang benar-benar layak?
Sambil ketawa kecil, Rahim tidak menolak dakwaan berkenaan tetapi pokok pangkalnya, jelas seniman itu, semuanya adalah kredibiliti seseorang aktor itu dalam membawakan watak Uda.
Mengenai pemilihan Misha pula, Rahim tidak dapat melihat artis wanita lain yang dapat menjayakan watak Dara selain penyanyi kelahiran Kota Bahru, Kelantan itu.
Malah, selepas menonton lakonan Misha sebagai ikan buntal dalam teater muzikal Gamat 2 tidak berapa lama dulu, menambahkan lagi keyakinan Rahim untuk mengambil Misha sebagai Dara.
"Misha memiliki ciri-ciri wanita Melayu yang penuh santun dan gemalai sesuai dengan perwatakan Dara. Saya optimis bahawa mana-mana aktor yang terpilih nanti layak untuk digandingkan dengan Misha.
"Sudah pasti juga saya mahu mencari mereka yang boleh menyanyi dengan baik untuk pementasan ini dan semua itu, saya lihat ada dalam diri Misha.
"Saya percaya dia dapat membawakan watak Dara dengan baik," ujar pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Kedua menerusi filem Abang pada tahun 1981 itu lagi.
Selain Misha, pelakon lain yang terlibat dalam pementasan yang cukup dinanti-nantikan ini ialah penyanyi bersuara mantap, Aishah yang akan memegang watak Ibu Uda.
Selain itu, Betty Banafe pula menjadi Ibu Dara, Mazlan Tahir (Alang Bakhil), Khir Rahman (Utih) dan Radhi Khalid (Pak Long).
Sekadar menyingkap sejarah, Uda dan Dara pertama kali dipentaskan dan diarahkan oleh Rahim pada tahun 1972 di Panggung Eksperimen Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Kemudian, Panggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menjadi saksi cinta Uda dan Dara sebelum berpindah ke dewan berprestij, Dewan Filharmonik Petronas dalam bentuk randai.
Malah, pernah juga Uda dan Dara dipentaskan dalam bahasa Inggeris yang menyaksikan pengarah dan aktivis teater tersohor, Ahmad Yatim melakonkan watak Uda.
Barangkali ramai yang tidak tahu juga Uda dan Dara sebenarnya diangkat daripada puisi karya Usman yang berjudul Gadis Di Kuburan yang dihasilkan pada tahun 1954.
Bukan sahaja teater, Uda dan Dara juga pernah dihasilkan dalam bentuk drama TV dan diarahkan oleh Aziz Wok.
Dalam drama yang diterbitkan pada tahun 1970 itu, Rahim memegang watak Uda manakala Norela Samad pula sebagai Dara.
Ketika itu jugalah, lagu Uda dan Dara dihasilkan oleh Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang dinyanyikan bersama Allahyarham Puan Sri Saloma.
Rentetan daripada kejayaan itu, P. Ramlee seterusnya ditawarkan untuk menghasilkan muzik dan lagu-lagu untuk teater pertama Uda dan Dara.
Rahim yang juga terlibat dalam produksi ketika itu memberitahu P. Ramlee memang begitu berminat untuk melibatkan diri dalam teater berkenaan.
Malah, seniman itu juga berjanji akan menyiapkan semuanya dalam tempoh tujuh bulan tetapi malangnya, dia lebih dahulu menemui Ilahi dan berkubur begitu sahaja.
"Lalu, kami menggunakan khidmat seorang guru muzik bernama Basil Jeya Tilaka untuk menghasilkan skor muziknya.
"Kami mahu menggunakan skor asal itu untuk pementasan terbaru ini tetapi malangnya, ia tidak dapat dicari dan hilang entah ke mana.
"Untuk itu, kami menggunakan khidmat Hafiz Askiak untuk menghasilkan muzik dan lagu-lagu baru yang dianggarkan sebanyak 20 buah lagu," kata Rahim lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: