Kerajaan negeri bangun kawasan tumpuan untuk tarik pelancongan
MELAKA: Pulau Besar, dekat sini, yang dulunya dikenali sebagai 'pulau keramat' bakal berwajah baru tidak lama lagi, apabila kerajaan negeri bersetuju untuk membangunkan semula beberapa lagi kawasan tumpuan di situ bagi dijadikan tarikan pelancongan.Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, antara projek yang bakal dilaksanakan adalah memperkemas dan memulihkan semula 22 lokasi diklasifikasikan sebagai tapak sejarah seperti makam golongan alim, ilmuan serta kerabat kesultanan Melayu Melaka. Ini termasuk Makam Sultan Arifeen Syeikh Ismail, Makam Al-Mursyid Syeikh Yusuf As-Siddiq, Makam Syarifah Rodziah / Siti Sarah, Makam Saiyid Ibrahim, di samping Batu Tengkorak, Poko Disula, Tasik Biawak, Batu Belah, Keramat Masin Tawar / Perigi Tawar.
Selain itu, tapak Istana Bunian, Perkampungan Bunian, Tasik Bunian / Perigi Bunian, Gua Yunus, Keramat Ular, Makam Nenek Kebayan, Keramat Tempayan Pecah, Makam Tok Janggut, Makam Tujuh Beradik, Makam Seribu, Makam Nisan Satu, Tapak Kaki Sultan Arifeen dan Batu Layaran/Batu Penambat Kapal.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob melawat kerja pengubahsuaian Muzium Pulau Besar serta sekitar pulau berkenaan, baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Ab Ghafaar Atan; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Seet Har Cheow; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh serta Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Khamis Abas.
Muzium Pulau Besar yang berharga RM1.9 juta itu akan menempatkan pelbagai artifak dan gambar tinggalan sejarah lampau yang terdapat di pulau berkenaan serta mampu menjadi panduan orang ramai khususnya penyelidik dan pelajar.
Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata, usaha memberi wajah baru Pulau Besar sudah bermula sejak beberapa bulan lalu menerusi pembangunan semula pusat peranginan Puteri Resort berharga RM3 juta oleh syarikat Semulahijau Sdn Bhd.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga akan mengubahsuai Hotel Putra bagi memudahkan pengunjung menginap di pulau berkenaan, di samping menaik taraf landskap, membaiki serta membeli kenderaan baru dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan bernilai RM20 juta.
"Kita juga akan meneruskan usaha membina sebuah masjid baru di Pulau Besar yang tergendala akibat ketiadaan peruntukan.
"Kita berharap dengan adanya pembangunan semula ini, ia akan memberi galakan kepada pelancong untuk datang dan menginap di Pulau Besar pada masa depan," katanya.
Sebelum ini, kerajaan negeri berhasrat menambah pembangunan Pulau Besar yang mempunyai kaitan dengan sejarah serta akan mewartakannya selain menyediakan beberapa aktiviti sukan air dan program `Island Hopping' di pulau berhampiran bagi menarik lebih ramai pelancong.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: