Saturday, May 8, 2010

Program realiti hakis tabu


GENRE program realiti televisyen seperti American Idol semakin popular di India dan mula merubah budaya serta pemikiran rakyat negara itu.


BEBERAPA program seperti (Emotional Torture) dan Sach Ka Samna (Face The Truth)dilihat sengaja mengejutkan generasi lama di negara itu yang selama ini menitikberatkan tradisi.

Sebelum ini, golongan pertengahan di India hanya menyaksikan kisah-kisah drama berbentuk kekeluargaan dalam kehidupan seharian. Lazimnya, ia berkisar tentang hubungan antara ibu mertua dan menantu yang sering menimbulkan ketegangan.

Kebanyakan siaran swasta pada hari ini mengkhaskan slot pada sebelah malam bagi menyiarkan program realiti yang memaparkan aksi mengghairahkan, termasuk keasyikan golongan muda bercinta, bertengkar dan mempromosikan perlakuan tidak senonoh.

"Emosi negatif mula kelihatan di sekitar India tetapi ia masih berjaya disembunyikan," kata Raghav Jha, seorang pakar sosiologi di Mumbai.

"Dengan membawanya secara terbuka, program realiti telah berjaya membuka jalan untuk mengadili mereka dan memastikan ia boleh diterima," kata Jha yang bekerja di salah sebuah organisasi swasta mengenai kajian media.

"Program realiti menjana berjuta-juta kepercayaan masyarakat India bahawa menyelar seseorang merupakan sesuatu yang baik, berkelakuan buruk tidak salah, secara terbuka berkongsi pengalaman seksual mereka dan membenarkan sesuatu tindakan dengan memekik," katanya.

Sepanjang tempoh lima tahun lalu, syarikat produksi telah menyiarkan siaran popular rakyat Amerika dan Eropah dalam versi India, seperti American Idol, The Moment of Truth, Big Brother, the Fear Factor and I'm a Celebrity... Get Me Out of Here.

Genre rancangan seperti itu menjadi semakin popular di dalam budaya masyarakat di India kira-kira tiga tahun lalu selepas kemunculan bintang Bollywood, Shilpa Shetty di dalam rancangan realiti Britain's Big Brother.

Shetty bagaimanapun menjadi mangsa perkauman yang diketuai oleh orang kuat program realiti televisyen Britain, Jade Goody yang meninggal dunia akibat kanser 13 bulan lalu, dalam satu skandal global yang membawa kepada tindak balas kerajaan Britain dan India sehingga rancangan itu dihentikan.

Dalam pada itu, Rahul Mahajam, 30-an daripada keluarga politik telah ditahan kerana penyalahgunaan dadah pada tahun 2006, memilih isteri menerusi rancangan berbajet tinggi Rahul Dulhaniya Lejayange (Rahul Will Take The Bride) selepas berkenalan dengan lebih daripada sedozen peserta di dalam rancangan itu.

Rancangan Emotional Torture pula memaparkan kisah lelaki dan wanita menyaksikan pasangan masing-masing digoda oleh jerat madu untuk menggoda mereka.

Di sebuah negara, di mana ibu bapa secara tradisinya memilih dan mencadangkan pasangan anak-anak mereka dan hubungan luar nikah adalah dilarang sama sekali, kedua-dua rancangan itu terikat untuk dikritik.

Satu rancangan lain menunjukkan ia mencabar sistem kasta di negara itu, kanak-kanak golongan berada di Mumbai mencemuh golongan kasta rendah dalam babak yang mungkin mendapat bantahan golongan Hindu konservatif.

Juara rancangan Big Switch, sebuah pertandingan yang memakan masa sebulan, membawa pulang hadiah wang tunai AS$21,000 (RM67,200) selepas berjaya mencuri perhatian penonton semasa semasa mengilatkan kasut, menjual buku di lampu isyarat dan melakukan tugasan kasar yang biasanya dilakukan golongan miskin.

Najma Heptulla, Ahli Parlimen dari barat Rajastan berkempen menentang program realiti yang dianggapnya kasar dan tidak mencerminkan budaya masyarakat India.

Bersikap terbuka

Wanita itu menyasarkan rancangan The Moment of Truth versi India yang memaparkan para peserta mengajukan soalan seperti sama ada mereka meniduri pelacur atau gadis yang lebih muda daripada anak perempuan mereka.

"Kita bukannya rakyat Britain atau AS. Kita adalah rakyat India," kata Heptulla yang mendesak rancangan itu ditarik balik siarannya. "Kita mempunyai perbezaan nilai dan sistem kehidupan yang berbeza.

"Saya rasa program-program sedemikian tidak sesuai dengan corak masyarakat kita," katanya.

Sama ada sesuai atau tidak, keinginan untuk melibatkan diri sukar dinafikan oleh kebanyakan pelakon dan pelajar kolej, sebahagian besar komuniti di kampung dan di bandar bekerja untuk mendapatkan peluang menyertainya.

Semasa program uji bakat Mac lalu di luar New Delhi untuk rancangan Indian Idol, berlaku rempuhan apabila para peserta berebut memasuki pentas uji bakat. Ekoran insiden itu 12 orang tercedera.

Pelakon program realiti bersetuju bahawa rancangan itu tidak memberi faedah moral untuk ditonton, tetapi mereka tetap mempertahankan watak yang dimainkan.

"Rancangan ini mempunyai impak yang menarik kerana saya rasa masyarakat mula bersikap terbuka. Mereka berubah mengikut peredaran masa," kata Revika Desai, seorang peserta sebuah program realiti yang dijadualkan pada April tahun ini.

Kebanyakan penerbit berkata, program realiti televisyen tidak boleh lari daripada format yang berlandaskan mendedahkan rahsia peribadi seseorang dan memalukannya di khalayak. Ia adalah sesuatu yang paling dibenci di India.

Sementara itu, jumlah penonton semakin menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.

"Selepas lima tahun, genre realiti menguasai 13 peratus daripada keseluruhan ruang hiburan," kata Siddhartha Mukherjee, pegawai kanan di Television Audience Measurement, sebuah agensi pemantauan penonton televisyen.

Mukherjee berkata, drama kekeluargaan masih mendominasi dan berjaya menarik sejumlah penonton yang ramai tetapi perkembangan rancangan realiti merupakan satu fenomena.

Pengkritik bagaimanapun berkata, masyarakat telah diperdayakan dengan angka besar yang ditunjukkan.

"Hanya segelintir masyarakat India mengetahui format keseluruhan rancangan ini adalah mengikut skrip dan kekecohan yang berlaku sememangnya telah dirancang. kata

"Walau apa pun konsepnya ialah untuk terus tinggal di sini dan yang pasti ia sesuatu yang menarik dalam budaya masyarakat India," kata P.N.Vasanti, Pengarah Pusat Pengajian Media di New Delhi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: