Friday, May 7, 2010

Prihatin masalah pembuangan sisa pepejal

SEREMBAN 6 Mei - Jika anda gemar membuang sampah merata-rata termasuk di tempat awam anda wajar berasa malu kepada pelajar-pelajar ini. Pada usia masih muda pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ampuan Najihah (STAN) ini mengetahui tentang kepentingan menjaga alam sekitar termasuk mempraktikkannya dengan mengitar semula barangan tertentu.

Usaha membentuk semangat bertanggungjawab terhadap alam sekitar yang bermula di sekolah itu secara tidak langsung mampu diserapkan ke dalam kehidupan seharian mereka walaupun di mana mereka berada.

Namun menurut Ketua Panitia Geografi STAN, Afizah Md. Khalid, usaha menggerakkan Kempen Go Green di sekolah tersebut tidak mungkin berjaya tanpa komitmen pelajar.

"Pelajar-pelajar ini selalunya sangat teruja dalam menyertai pelbagai aktiviti yang diatur termasuk gotong-royong.

"Malah kempen kitar semula barangan di sekolah juga sangat berjaya sehingga kita mampu mengumpul beribu-ribu kilogram sampah setiap bulan," katanya

Seorang pelajar, Norfarahin Mazlan, 14, menganggap kempen tersebut secara tidak langsung menunjukkan keprihatinan mereka terhadap masalah pembuangan sisa pepejal yang meruncing itu.

"Pelajar sekolah ini ditanamkan dengan sikap untuk mencintai alam sekitar termasuk jangan merosakkannya dengan membuang sampah yang tidak dapat dilupuskan," katanya.

Menurut Norfarahin, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan sangat mengujakan kerana pelbagai manfaat boleh didapati termasuk berpeluang mengerat silaturahim di kalangan masyarakat.

"Sedikit sebanyak perkara ini akan saya praktis apabila pulang ke rumah termasuk mengajak anggota keluarga lain turut sama," katanya.

Seorang lagi pelajar, K. Thireppovana, 15, berkata, kempen itu bukan sahaja menyedarkan mereka tentang keperluan menjaga alam semula jadi, tetapi juga tentang amalan 3R yang berkesan.

"Apa yang kita lakukan hari ini adalah untuk masa depan juga demi menjadikan bumi ini selamat untuk diduduki.

"Bayangkan bagaimana sisa bahan buangan seperti plastik itu sukar dilupuskan dan bila dibuang ke tempat tidak sepatutnya seperti sungai dan longkang boleh merosakkan ekologi dan kualiti air," katanya.

Seorang ahli Kelab Renjer Hutan sekolah tersebut, Chong Wen Ning, 17, memberitahu, biar pun masih muda, dia beruntung kerana dapat berkongsi perkara ini dengan masyarakat.

"Sekurang-kurangnya kami dapat memberitahu masyarakat tentang usaha dan kesungguhan kami menjaga alam sekitar seterusnya berharap ia dapat dicontohi.

"Jika kami yang masih muda dapat melakukan tentu semua orang lain juga boleh," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: