![]() |
| Hamidah Mohd. Nor |
Hari Ibu menjelang lagi. Jadi ada baiknya dicoretkan kisah ibu tunggal yang bergelut seorang diri membesarkan anak-anak. Perjalanan ke Sungai Besar, Selangor memang menjerihkan mengambil masa kira-kira dua jam bagi menemu ibu berwajah redup tetapi ceria, Hamidah Mohd. Nor, 52.
Dia merupakan seorang ibu tunggal selepas kematian suami yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada Februari 2000.
Ketika kejadian Hamidah bersama suami dalam perjalanan ke Kuantan untuk membeli barangan membuat roti.
"Dahulu, kami anak beranak tinggal di Terengganu. Suami saya yang bercita-cita mahu menjadi seorang usahawan, sanggup berhenti kerja kerajaan demi membuka kedai roti.
"Namun, takdir Tuhan penentu segala. Hari Sabtu pada bulan Februari 2000, dalam perjalanan ke Kuantan untuk membeli bahan membuat roti, suami saya maut dalam kemalangan di Beserah.
"Luluh hati ini kala itu, kosong dan hati terasa amat pilu, tidak dapat saya gambarkan apakah masa hadapan yang bakal kami lalui. Tambahan pula, semasa itu saya sendiri sarat tujuh bulan mengandungkan anak ketujuh kami".
Demikian cerita Hamidah membuka bicara.
"Tiga bulan selepas kematian suami, ibu bapa saya di Selangor memujuk saya membawa anak-anak pulang ke kampung.
"Saya memang asal orang Sungai Besar, maka adalah lebih mudah saya meneruskan tatih hayat kami sekeluarga di sini. Paling tidak, saudara mara ramai yang boleh menghulurkan bantuan," kata Hamidah.
Selepas itu hidupnya sekeluarga hanya bergantung kepada wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) suaminya. Apatah lagi dirinya sendiri dalam keadaan serba terbatas. Tiga bulan kembali ke kampung dia melahirkan anak.
"Syukur kepada Allah SWT, rezeki kami di sini tidak pernah putus walaupun hakikatnya kami dihimpit kemiskinan. Saya berpegang kepada prinsip, jangan sesekali menyerah kalah kepada takdir. Saya akhirnya mencuba nasib menjadi tukang masak di sebuah kantin sekolah.
"Alhamdulillah, saya tidak mensesiakan bakat memasak yang dikurniakan Allah.
"Di samping itu, bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga banyak meringankan bebanan. Benarlah saranan emak saya dahulu, di sini saya pasti tidak dibiarkan bersendirian meneruskan kehidupan," katanya.
Sehingga kini, setelah hampir 10 tahun kembali ke Selangor, di samping pendapatan RM570 menjadi pekerja am di sebuah syarikat, keluarga bahagia ini juga turut menerima bantuan bulanan LZS RM300 dan juga bantuan makanan.
Di samping itu keluarga tersebut juga mendapat bantuan untuk pendidikan anak-anak. Sebuah rumah berharga RM19,500 yang lengkap dengan bekalan air dan elektrik juga diberikan LZS.
Rumah tersebut dibina oleh LZS (MAIS) sejak tujuh tahun lalu.
Urusan pendidikan
Hasil perkongsian hidup, Hamidah dan suaminya dikurniakan tujuh cahaya mata, iaitu Muhamad Hatta, 26; Farhana, 25; Muhamad Hidayat, 23; Fatimah, 21; Hisyamudin, 16; Haikal, 12 dan Muhamad Hilman, 10.
"Suami saya semasa hayatnya pernah berpesan, agar anak-anak kami ini menjadi manusia yang berguna kepada negara dan agama.
"Dia mengangan-angankan, setiap seorang mereka memilih kerjaya yang berbeza-beza, ada yang menjadi doktor, pensyarah, jurutera, peguam dan sebagainya.
"Alhamdulillah, anak-anak saya nampaknya memahami hasrat arwah ayah mereka dan kini masing-masing sedang menekuni bidang yang diminati. Anak saya yang bongsu pun nampaknya ada ciri-ciri menjadi seorang hafiz, seperti mana yang 'kami' idam selama ini," katanya lagi.
Hamidah mengota apa yang dikata. Kini anak pertamanya, Hatta lulusan bidang Elektronik Industri dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka sudah pun menjawat jawatan eksekutif teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta.
Anak kedua, Farhana pula lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Sains Fizik kini bergelar seorang pendidik. Anak ketiga, Hidayat pula sedang menekuni tahun akhirnya di Universiti Teknologi Petronas, Perak dalam bidang Kejuruteraan Kimia.
Anak keempat, Fatimah pula sedang menunggu panggilan kemasukan ke universiti tempatan setelah berjaya meraih 10A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menyimpan cita-cita menjadi doktor.
Hisyamudin kini masih menuntut di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak dan anak keenam dan ketujuh kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Makmur, Sungai Besar, Selangor.
Dengan pendidikan yang sempurna, masalah dapat diubah menjadi cabaran, cabaran pula dapat diolah menjadi harapan.
Bagi Hamidah, tiada rahsia besar dalam mendidik anak-anak hingga berjaya dalam keadaan hidupnya yang serba kepayahan itu.
"Saya tiada rahsia besar. Saya Cuma mengamalkan kaedah memotivasikan anak-anak dengan kata-kata nasihat yang positif.
"Saya mahu mereka membandingkan kehidupan masa kini dengan apa yang bakal mereka perolehi pada masa hadapan.
"Jika mereka rajin berusaha, insya-Allah hidup akan menjadi lebih mudah. Jika tidak, mereka akan meneruskan segala kepayahan ini. Itulah yang sering saya tanamkan ke dalam jiwa anak-anak saya sejak dahulu lagi," kata Hamidah.
Kini, Hamidah sekeluarga mampu tersenyum. Manakan tidak, di saat diri dikelilingi oleh anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran juga kehidupan yang mendapat pembelaan dari institusi khusus seperti LZS (MAIS), pasti memberi harapan yang cerah buat mereka meladeni masa hadapan.
Inilah secebis kisah kejayaan di sebalik deretan nama penerima bantuan zakat. Kisah ini memberikan mesej bahawa kejayaan adalah milik semua insan walau kita dilahirkan dalam kemiskinan.
Ingatlah janji Tuhan, hanya mereka yang mahu berubah mampu mencipta kejayaan, insya-Allah.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: