![]() |
| Jangan biarkan anak mencari sendiri maklumat tentang pendidikan seks di Internet. - Gambar hiasan |
APABILA membicarakan soal seks secara terbuka, pasti masyarakat menolaknya. Seks dianggap sebagai satu topik memalukan serta tidak manis untuk diperkatakan terutamanya di hadapan anak-anak.
Namun itu tanggapan silap. Seharusnya pendidikan tersebut diterapkan kepada anak-anak supaya boleh mengelak berlakunya gejala sosial seperti seks bebas di kalangan generasi muda.
Tetapi apa yang berlaku sekarang ialah ibu bapa masih lagi mempunyai perasaan segan dan tidak terbuka untuk membincangkan perkara ini.
Ini secara tidak langsung akan menyebabkan anak-anak kurang pengetahuan tentang apa yang dimaksudkan dengan perhubungan seks antara lelaki dan wanita.
Lebih menyedihkan apabila terdapat banyak kes pembuangan bayi disebabkan seseorang remaja hamil akibat melakukan hubungan seks sebelum berkahwin.
Malah terdapat juga remaja yang menggugurkan kandungan atau membuang bayi yang baru dilahirkan ekoran kekurangan pendidikan berkaitan hubungan seks.
Menurut Kaunselor Kolej Yayasan MARA, Nor Shadira Jamaludin, hal ini penting bagi mendedahkan perkara sebenar berkaitan pengetahuan seks dan juga kebaikan serta kesan buruk hasil hubungan seks tersebut .
''Biarpun anak-anak masih mentah namun pendedahan awal harus diberikan supaya mereka mengetahui kesan daripada perbuatan tersebut.
"Tambahan pula, perbuatan itu tidak direstui oleh agama Islam sendiri," katanya.
Katanya lagi, dalam membincang isu sensitif tersebut, ibu seharus buang sikap dan perasaan malu.
''Dalam situasi sebegini, ibu bapa sebenarnya memainkan peranan paling penting dalam menyediakan pengetahuan mengenai seks.
"Malah buangkan sikap malu untuk berkongsi cerita ini bagi mengelakkan perkara yang tidak elok berlaku di masa hadapan,'' ujarnya bersungguh.
Justeru tegasnya, penerapan terhadap didikan seks pada awal usia mampu memelihara anak-anak daripada cuba melakukan perkara tersebut sekali gus menghindari penyakit kelamin seperti siflis, AIDS dan hepatitis.
''Untuk memulakan cerita, tidak salah jika si ibu selitkan gurauan dan nasihat untuk anak-anak , namun si ibu harus tegas dalam membincangkan isu ini demi kebaikan serta masa depan anak-anak.
''Terangkan kepada mereka, apakah kesan jika mengandung hasil daripada hubungan terlarang pada usia yang muda.
''Jika perlu, selitkan gurauan bersahaja untuk mengatasi rasa segan itu," katanya yang telah banyak mengendalikan kes-kes sedemikian.
Tambahnya lagi, jika ibu bapa memilih untuk mendiamkan diri apabila anak-anak bertanya mengenai topik berkenaan, ia boleh memudaratkan keadaan kerana maklumat yang dikumpul sendiri oleh mereka tidak semestinya tepat dan boleh dipercayai.
Apatah lagi jika mereka cuba mencari maklumat di Internet yang mengandungi banyak bahan-bahan tidak bertapis.
"Terdapat pelbagai kajian telah membuktikan bahawa gadis remaja yang mendapat pendidikan seks pada awal usia daripada ibu mereka, kebarangkalian menangguhkan hubungan seks di luar perkahwinan adalah lebih tinggi," ujarnya
Selain itu tegasnya , ibu juga harus menekankan topik mengenai kaedah perancangan keluarga yang efektif.
"Memberi maklumat yang tepat dan benar mengenai seks dan juga kaedah perancangan keluarga yang berkesan adalah satu-satunya cara membantu anak-anak muda menghindari perilaku seks yang boleh memudaratkan diri," jelasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: