Tuesday, May 11, 2010

Peluang kedua di TEKAT




KEMISKINAN atau kegagalan memperoleh keputusan peperiksaan yang kurang membanggakan bukan lagi satu alasan untuk seseorang menoktah pengalaman menimba ilmu.

The Institute of Automotive Technology (TEKAT) yang berpusat di Jalan Reko, Kajang, Selangor membuka peluang kepada individu-individu yang merasakan peluang mereka untuk melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi (IPT) sudah terkubur.

TEKAT adalah sebuah institusi tunggal di Malaysia yang menawarkan latihan kemahiran teknologi automotif secara intensif di bawah sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia.

Institut yang diterajui oleh Pengerusi Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling diiktiraf dan ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pengajian Tinggi dan sebuah badan kejuruteraan automotif antarabangsa United Kingdom (UK), The Institute of the Motor Industry (IMI).


GRADUAN TEKAT berpeluang bekerja di syarikat-syarikat terkemuka di Malaysia.


Syarat yang ditetapkan oleh TEKAT mudah. Calon berumur di antara 16 hingga 25 tahun boleh membaca, menulis dan mengira. Mengapa syarat-syarat kemasukannya begitu mudah?

"Daripada pengalaman saya, individu yang kurang cemerlang pada zaman persekolahan di peringkat menengah rata-rata lebih gemarkan pengajian yang berbentuk praktikal daripada yang berbentuk subjektif.

"Jadi, tak semestinya jika kumpulan ini pernah gagal pada sesi persekolahan mereka juga akan gagal semasa di IPT. Buktinya, institut ini berjaya menghasilkan pelajar-pelajar yang memenuhi kehendak pasaran automotif," ujar Ketua Pegawai Eksekutif TEKAT, Liew Lum Onn ketika ditemui baru-baru ini.

Sikap berubah

Sejak ditubuhkan pada Januari 2002, TEKAT berjaya menarik lebih 5,000 pelajar yang terdiri daripada pelajar-pelajar dari bandar dan luar bandar.

Menurut Lum Onn, ada antara pelajar-pelajarnya terdiri daripada mat rempit dan pesalah kes juvana. Katanya, pelajar-pelajar begini merasakan mereka sudah tidak berguna kepada masyarakat tetapi apabila diterima masuk ke TEKAT segala-galanya berubah.

"Mereka sangat meminati hal yang berkait dengan automatif, hari ini wajah-wajah itulah yang menjawat jawatan penting di kebanyakan syarikat-syarikat besar di negara ini," ujarnya.

Di TEKAT, terdapat dua aliran utama. Pertama, Aliran Teknikal dengan tempoh pengajian selama tiga tahun dan Aliran Vokasional selama dua tahun.


TEKAT juga menerima pelajar wanita yang berminat untuk mendalami bidang automatif.


Bagi Aliran Teknikal, ia diletakkan di bawah TEKAT Automotive College yang menawarkan program Diploma Teknologi Automotif. Sementara kepada mereka yang berminat mengikuti Aliran Vokasional, ia di bawah Auto Terminal Training yang menawarkan program Pensijilan Kemahiran Malaysia yang bakal menyaksikan para pelatihnya dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 hingga Tahap 3.

Pelatih yang berjaya menamatkan latihan hingga Tahap 3 akan meraih Diploma Teknikal IMI-Automotif.

Mudahkah untuk pelajar-pelajar di institut TEKAT mendapat bantuan pembiayaan latihan?

"Semua pelatih tidak akan tercicir daripada menerima bantuan pembiayaan daripada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara pinjaman.

"Bantuan merangkumi yuran pengajian dan elaun sara diri," kata Lum Onn.

Setiap bilik latihan pelatih, makmal komputer, perpustakaan elektronik, prasarana-prasarana lain dan teknologi yang digunapakai di TEKAT adalah terkini.

Menurut Lum Onn, silibus pembelajaran juga sentiasa dikemaskini selaras dengan perkembangan teknologi automotif antarabangsa.

Hab pendidikan

Demi untuk memperkukuhkan sistem pengajian dan pembelajarannya, TEKAT mengambil pendekatan positif dengan melantik tenaga pengajar dari luar negara.


TEKAT mengalu-alukan pelajar-pelajar yang meminati bidang automatif.


Undrico D Corpuz Jr yang berasal dari Filipina merupakan antara pensyarah berwibawa yang diimport oleh institusi itu.

Undrico yang fasih berbahasa Melayu turut diberi kepercayaan melatih dan memberi kursus kepada peserta dari institusi kemahiran lain seperti Institut Kemahiran Bina Negara (IKBN) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) yang berhasrat untuk meningkatkan kemahiran automotif mereka.

Lum Onn yang juga bekas mekanik yang berjaya dan memiliki pengalaman berbelas tahun dalam bidang tersebut berkata, kemunculan TEKAT sangat melegakan industri automotif Malaysia.

"Benar, dulu mereka bergantung kepada kepakaran asing tapi kini tidak lagi.

"Pelajar-pelajar saya yang masih belum tamat pengajian telah disambar oleh syarikat besar seperti Honda, Toyota, Edaran Otomobil Nasional (EON), Proton, DRB-HICOM dan Puspakom untuk berkhidmat dengan mereka.

"Sambutan syarikat-syarikat terhadap pelajar perempuan di TEKAT juga sungguh membanggakan," ujar beliau sambil memberitahu TEKAT sudah sembilan tahun usianya.

Kecemerlangan institusi itu mendorongnya untuk melebarkan sayap ke negara-negara Asia yang lain dan ke setiap negeri di negara ini.

Setakat ini, TEKAT sudah bertapak di Indonesia dan telah mengadakan kerjasama latihan dengan Sekolah Tinggi Manajemen Industri dan di pusat latihan TEKAT di Kota Pariaman, Sumatera Barat.


HAMPIR 80 peratus pengajian di TEKAT berbentuk praktikal.


Institusi itu juga bakal menembusi Tembok Besar China apabila sudah menerima lampu hijau dari Republik China untuk membuka label TEKAT di Shenzen dan Guangzhou.

Di peringkat tempatan, cawangan institusi itu akan berada di Johor dan di Terengganu dan sedang berusaha untuk dikembangkan ke negeri-negeri lain.

Lum Onn berharap TEKAT bakal menjadi hab pelancongan pendidikan dalam bidang automotif.

TEKAT yang memegang moto Tabung Pembangunan Kemahiran berharap kehadiran institusi itu akan menjadi hentian kepada kumpulan pelajar yang merasakan mereka sudah tercicir untuk mendapatkan pendidikan yang dicita-citakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: