Friday, May 14, 2010

Pasrah musibah

BERGAMBAR kenangan bersama anak saudara dan puterinya.
BERGAMBAR kenangan bersama anak saudara dan puterinya.
Kejutan anak saudara rai ulang tahun ceriakan Rosnah

SENYUMAN tidak pernah lekang di bibirnya. Sekali-sekala perbualan kami diselit dengan tawa kecil. Suasana ketika temu bual diadakan baru-baru ini, sempena majlis doa selamat dan sambutan hari lahir pelakon veteran, Datin Rosnah Mohd Noor, cukup menceriakan. Keadaan itu seakan menidakkan wanita terkenal yang berada di depan itu menderita penyakit barah payudara.Hakikatnya, pelakon ini baru saja disahkan menghidap penyakit yang digeruni ramai wanita itu kira-kira sebulan yang lalu. Namun, dalam kerisauan ketika menunggu hasil pembedahan yang dilakukan beberapa minggu lalu, Rosnah tidak mahu melihat kehidupannya terhenti hanya kerana berita yang diterimanya itu.
Sememangnya dia pasrah dan reda dengan ketentuan Tuhan, tetapi pada masa yang sama, dia berpegang pada kata-kata, ajal itu satu kepastian, namun kehidupan perlu diteruskan.

"Diri sendirilah sebenarnya yang banyak mendorong saya supaya terus bersemangat untuk hidup. Saya seorang wanita yang periang dan tidak tidak kisah pada kesusahan diri sendiri. Asalkan adik-adik dan anak-anak saya tidak ditimpa kesulitan, saya sudah berasa cukup gembira.

"Sudah tentulah adik-beradik, anak-anak dan rakan-rakan terdekat banyak memberikan semangat dan dorongan. Begitupun, bak kata orang, insan lain hanyalah bisa memandang, sedangkan kitalah yang menanggungnya," kata Rosnah yang diraikan dalam majlis hari lahir yang diatur anak buahnya, Suri Ibrahim.

Suri yang menetap di Australia sejak sedekad yang lalu, pulang ke ibu kota untuk memberikan kejutan kepada Rosnah.
Menurut Rosnah, dia percaya, Tuhan memberikan ujian kepada hamba-Nya untuk menjadikan mereka insan yang tabah dan kuat.

"Ketika kita reda dengan takdir yang datang, kita juga sebenarnya perlu melawan penyakit berkenaan. Kita kenalah berusaha dan berdoa semoga musibah itu akan hilang juga akhirnya.

"Pada masa yang sama, siapalah yang tidak berdebar menunggu keputusan ujian hasil pembedahan berkenaan. Daripada pembedahan itu, doktor mengeluarkan benih kanser daripada buah dada saya. Katanya, ketulan sebesar 2 sentimeter berada dalam badan. Ia sudah pun dikeluarkan di Hospital Kuala Lumpur, 21 April lalu.

"Apabila saya kembali ke hospital berkenaan pada 8 Jun nanti, barulah saya ketahui apakah rawatan susulan yang perlu diterima. Sehingga saat itu, saya berserah pada Tuhan dan berusaha untuk mengekalkan kesejahteraan. Saya kini mengelakkan diri daripada memakan hidangan berminyak ataupun dibakar. Saya kena banyakkan makan sayur-sayuran, di samping makanan tambahan," ujar pelakon yang pernah membintangi beberapa filem termasuk Hantu Siang, Esok Untuk Siapa dan Ribut Di Hujung Senja ini.

Bercerita mengenai detik penyakitnya mula dikesan, pelakon yang menggenggam trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 1984 dan 1986, masing-masing menerusi filem Di Ambang Kasih dan Hantu Siang ini berkata, kira-kira dua bulan lalu, dia berasakan ada sesuatu yang pelik pada bahagian payu dara.

"Oleh kerana sejarah keluarga saya yang bersih daripada penyakit ini, saya ingatkan ia hanyalah kerana angin dalam badan. Apabila berurut, kesakitan itu hilang. Begitupun ia datang kembali selepas sebulan. Ketika itu, saya mula berasa risau. Lantas adik saya menasihatkan saya melakukan pemeriksaan.

"Pada 6 April, saya melakukan ujian mammografi dan ultrasound. Ketika itulah doktor memaklumkan mengenai kewujudan sejenis ketumbuhan dalam payudara. Lalu dia mencadangkan saya menjalani biopsi untuk mendapatkan tisu buah dada, supaya ujian dapat dijalankan. Seminggu kemudian saya menjalani proses berkenaan.

"Beberapa hari kemudian, doktor memanggil saya ke hospital. Saya masih ingat, saya terduduk apabila doktor mengesahkan penyakit berkenaan. Saya memang terkejut, tetapi penuh reda. Saat itu juga tempahan dibuat untuk pembedahan," cerita Rosnah yang menghabiskan lapan hari di hospital.

Ceritanya, pembedahan yang dilaluinya mengambil masa hampir tiga jam, dari 2.15 petang hinggalah 5 petang.

"Saya sendiri tidur nyenyak sehingga jam 11 malam, apabila dibawa keluar dari bilik pembedahan. Maklumlah, dua hari sebelum itu saya tidak dapat lelapkan mata. Kelakarnya, saya sempat membuka mata seketika antara waktu berkenaan dan melihat beberapa makhluk di depan mata. Dalam hati saya berkata sendiri, apakah saya sudah kembali ke rahmatullah. Apabila saya mula mengecam baju doktor yang melakukan pembedahan, saya tahu saya masih berada di dunia," katanya bersulam ketawa.

Sementara itu, selain Suri serta adik-beradik dan sahabat terdekat, hadir sama meraikannya pada majlis yang diadakan di sebuah suite apartmen eksklusif di ibu kota ialah dua anak perempuannya, Wan Syamira Puteri Octavia, 19, dan Wan Syahera Puteri Aprena, 17 tahun. Anak sulungnya, Wan Ramada Agus Putra, 21, kini menuntut dalam bidang seni bina di Australia. Ketiga-tiganya ialah cahaya mata hasil perkahwinan Rosnah dengan bekas suami, penyanyi Iwan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: