Saturday, May 8, 2010

Parti Konservatif menang pilihan raya


NICK CLEGG meninggalkan pejabat partinya di London semalam.


LONDON - Parti Konservatif pimpinan David Cameron memenangi pilihan raya umum Britain dengan memperoleh sebanyak 304 kerusi, mengatasi dua lagi parti utama lain iaitu Parti Buruh dan Parti Liberal Demokrat yang masing-masing mendapat 257 dan 57 kerusi.

Namun, parti itu gagal memperoleh majoriti dua pertiga atau 326 kerusi daripada 650 kerusi yang dipertandingkan.

Justeru, Parti Konservatif tidak boleh membentuk kerajaan tanpa perikatan dengan parti-parti kecil.

Situasi itu berlaku buat kali pertama sejak tahun 1974. Pemimpin Parti Konservatif, David Cameron menegaskan bahawa Perdana Menteri Britain yang memimpin Parti Buruh, Gordon Brown telah kehilangan mandat untuk menerajui kerajaan.

Cameron kini dikatakan sedang merangka pelan bagaimana untuk membentuk kerajaan yang kuat, stabil dan mempunyai sokongan yang menyeluruh.

Bekas eksekutif perhubungan awam berusia 43 tahun itu turut menegaskan bahawa partinya akan melakukan pemotongan perbelanjaan dengan lebih cepat dan mendalam berbanding apa yang telah dilakukan oleh Parti Buruh.

Cameron menyatakan beliau mahu membentuk kerajaan campuran yang besar, terbuka dan komprehensif dengan Parti Liberal Demokrat. Pemimpin Parti Liberal Demokrat, Nick Clegg menyatakan selaku parti paling besar di Parlimen, Parti Konservatif berhak untuk mentadbir Britain.

"Parti Konservatif mendapat lebih banyak undi dan kerusi walaupun bukannya majoriti dua pertiga.

"Saya fikir sudah tiba masanya bagi Parti Konservatif membuktikan ia berupaya untuk mentadbir berasaskan kepentingan semua," kata Clegg yang memberi penunjuk pertama bahawa Parti Liberal Demokrat mungkin bersedia untuk bergabung dengan Parti Konservatif.

Jika situasi itu berlaku, Parti Buruh perlu melupakan hasratnya untuk terus berkuasa sejak memegang tampuk pemerintahan pada tahun 1997. Sumber-sumber memberitahu perbincangan tidak rasmi antara parti-parti yang bertanding sudah bermula. Sementara itu, Ratu Elizabeth II memantau perkembangan politik dan empat kakitangan kanan kerajaan telah ditugaskan bertemu semua parti untuk tujuan rundingan.

Wujud dua kemungkinan untuk menyelesaikan kebuntuan tersebut.

Pertama, Parti Buruh bergabung dengan Parti Liberal Demokrat.

Pilihan kedua pula ialah Parti Konservatif perlu meyakinkan Parti Liberal Demokrat untuk membentuk kerajaan bersamanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: