Friday, May 14, 2010

Panduan mudah urus jenazah

SETIAP yang hidup di dunia ini pasti akan menghadapi saat kematian. Semua orang bakal menghadap kematian orang yang tersayang dan rapat dengan kita. Ketika saat itu menjelma, bagaimana kita menghadapinya? Apa yang patut kita lakukan sementara menunggu saudara mara, jiran tetangga atau tukang mandi jenazah tiba?

Buku Panduan Mudah Urus Jenayah tulisan Marzuki Mohd. Noor mengupas apa yang harus dilakukan semasa menghadapi kematian.

Pada awalnya Marzuki membincangkan mengenai hak dan tanggungjawab si mati yang perlu dituntut seperti membayar hutang si mati, menunaikan wasiat si mati dan membayar fidyah.

Semua ini melibatkan waris si mati yang perlu melunaskan hak-hak berkenaan.

Kemudian buku berkenaan menyorot saat-saat si mati baru menghembuskan nafas terakhir sehingga kepada adab-adab ke kubur dan talkin.

Bermula dengan bab pertama yang membicarakan mengenai tanggungjawab menguruskan jenazah memandangkan empat hak orang Islam yang meninggal dunia yang perlu ditunaikan oleh umat Islam lain.

Ini termasuk memandikan, mengkafan, menyembahyangkan dan mengebumikan serta mengiringinya sehingga ke kubur.

Dalam buku ini dikupas perkara yang perlu dilakukan apabila berlaku kematian seperti menempatkan jenazah di tempat yang sesuai seperti katil. Diletakkan dengan kaki mengarah kiblat, kepala ditinggikan, menanggalkan pakaian berjahit dan ganti dengan pakaian bersih sambil menutup auratnya.

Pembaca juga diberikan pendedahan terperinci kaedah memandikan jenazah serta syarat-syarat orang yang memandikan jenazah.

Siapa yang lebih utama memandikan jenazah, alat-alat mandian serta cara persediaan alat mandian.

Buku ini juga dilengkapi dengan hadis-hadis Rasulullah serta bacaan-bacaan tertentu yang biasanya dibaca semasa menguruskan jenazah.

Malah buku ini juga mengupas perbezaan menguruskan jenazah lelaki, wanita serta bayi dan kanak-kanak.

Selain itu pembaca didedahkan bagaimana dan bila jenazah perlu ditayamumkan.

Bagaimanapun jenazah yang mati syahid ketika berperang memerangi orang kafir harbi tidak wajib dimandikan walaupun dalam keadaan berjunub.

Dalam buku ini juga dinyatakan tujuh jenis golongan mati syahid 'akhirat' yang perlu dimandi dan dikafankan.

Ia juga mengupas mengenai cara menyediakan kain kafan, perkara sunat semasa mengkafan sehinggalah siapa yang bertanggungjawab mengeluarkan belanja mengkafankan jenazah.

Juga dihuraikan mengenai solat jenazah, solat hadiah dan membincangkan mengenai jenazah yang haram disolatkan.

Dalam buku ini pembaca juga akan didedahkan dengan syarat-syarat solat jenazah, bagaimana melaksanakan solat jenazah serta wanita yang menunaikan solat jenazah.

Bab kelima pula membincangkan mengenai pengebumian termasuk perkara yang disunatkan, makruh serta waktu terbaik mengebumikan jenazah.

Apa yang lebih menarik terdapat tiga soal jawab mengenai urusan jenazah tanpa anggota lengkap, kematian yang berlaku di lautan dan mayat yang tidak ditemui seperti hilang di laut.

Bab terakhir pula mengenai bacaan talkin, masa dibacakan dan apa yang perlu dilakukan selepas talkin seperti menyiram air dari arah kepala sehingga ke hujung kaki dengan bacaan doa.

Buku kecil setebal 71 muka surat ini amat berguna sebagai panduan mudah kepada pembaca bagi menguruskan jenazah mengikut syarak bermula dengan ziarah sehingga menghantarnya ke liang lahat.

Sesungguhnya urusan jenayah perlu dicepatkan berdasarkan pesanan Rasulullah kepada Ali : "Wahai Ali, tiga perkara yang tidak boleh engkau lambatkan, Sembahyang apabila sudah masuk waktu, (mengebumikan) jenazah apabila sudah sedia dan (menikahkan) anak dara apabila sudah mendapatkan jodoh untuknya." (Diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ibnu Majah).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: