Thursday, May 13, 2010

Nabil Zamanhuri harumkan nama Malaysia


Nabil Zamanhuri


PETALING JAYA 12 Mei – Penyanyi Nabil Zamanhuri berjaya meletakkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa apabila meraih dua anugerah pada Pertandingan Menyanyi Asia ke-11 di Beijing pada 28 April lalu.

Pada pertandingan yang dahulunya dikenali sebagai Festival Muzik Asia Shanghai itu, Nabil berjaya mendapat Naib Juara Lagu Terbaik dan Penyanyi Harapan Asia.

Nabil memenangi kategori Naib Juara Lagu Terbaik menerusi lagu Dari Jauh ciptaan Lah Ahmad dan beliau sendiri.

Menurut Nabil, beliau cukup berbangga dan terharu apabila berjaya mengharumkan nama Malaysia bukan sahaja di peringkat Asia, bahkan di peringkat antarabangsa.

“Walaupun sebelum ini pertandingan ini hanya disertai oleh penyanyi baru dari negara Asia sahaja, tetapi kali ini ia turut menyaksikan penyertaan beberapa penyanyi dari Kanada, Bulgaria, Romania, Malta dan Australia,” katanya.

Penyanyi itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang akhbar sempena kemenangan tersebut yang diadakan di pejabat Alibi Music Sdn. Bhd., Mutiara Damansara dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Nabil mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung atas sokongan moral dan semangat yang diberikan kepada beliau.

“Saya cukup terharu dengan pengiktirafan yang diberikan ini. Ia membuktikan bahawa saya bukan sahaja mampu untuk menjadi penyanyi yang baik bahkan seorang komposer yang bagus,” katanya yang hadir ditemani ibu tercinta.

Nabil berharap, dengan kemenangan tersebut, ia boleh dijadikan platform untuk melebarkan lagi kariernya dalam industri seni tanah air dan antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: