![]() |
| Norliza Mohd. Zin dan suami, Masrur Mahmud bahagia bersama tiga penyeri rumah tangga mereka, (dari kiri) Musyrif Masrur, Muarief dan Muqrish. |
KELAHIRAN Musyrif Masrur pada 19 Mac 2004 sememangnya cukup istimewa sebagai bukti keutuhan cinta pasangan Norliza Mohd. Zain dan suaminya, Masrur Mahmud. Lebih manis lagi, bayi seberat 3.19 kilogram yang sempurna sifatnya itu menamatkan penantian selama lima tahun pasangan berusia 39 itu yang mendirikan rumah tangga pada tahun 1999.
Bercerita lanjut, Norliza atau lebih mesra dengan sapaan Liza memberitahu, tahun pertama selepas berkahwin dia masih lagi dapat menerima hakikat dan tidak terlalu memikirkan sangat walaupun masih belum ada tanda-tanda kehadiran anak sebagai penyeri rumah tangga.
Tetapi selepas usia perkahwinan menjengah tahun kedua, dia dan suami mula berfikir. Daripada situ mereka bersependapat perlu melakukan sesuatu.
"Kami pernah mencuba pelbagai kaedah rawatan serta nasihat daripada doktor semata-mata bagi memenuhi hasrat ingin menimang cahaya mata seperti mana pasangan lain.
"Namun jawapan yang diberikan doktor ialah kami berdua tiada masalah, mungkin belum rezeki kami untuk mendapat cahaya mata ketika itu.
"Setelah lama berusaha tetapi masih juga tidak berhasil akhirnya kami bersepakat tidak terlalu memikirkannya dan berserah kepada rezeki,'' ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam, baru-baru ini.
Bagaimanapun Norliza dan suami tetap percaya bahawa apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Berkat kesabaran dan penantian yang tiada keluh kesah, pertengahan 2003 akhirnya dia disahkan mengandung.
Oleh kerana tidak pernah terfikir akan mendapat anak setelah hampir lima tahun menanti, anak kelahiran Ipoh, Perak itu, seolah-olah tidak percaya apabila diberitahu bahawa dirinya telah mengandung.
"Bayangkan setelah hampir lima tahun berusaha dan akhirnya pasrah dengan ketentuan Allah, tiba-tiba saya disahkan mengandung, mahunya nak percaya.
"Hinggakan doktor menyuruh saya membuat pemeriksaan sendiri di rumah dan akhirnya penantian saya tidak sia-sia,'' tambahnya.
Bermula daripada situ, selang dua tahun berikutnya Liza telah dikurniakan anak kedua, Muqrish, yang kini berusia empat tahun dan anak ketiga, Muarief, yang baru mencecah 10 bulan.
Melahirkan ketiga-tiga anak secara pembedahan kerana menghadapi masalah tulang pinggul kecil, sedikit pun tidak mematahkan harapan Liza untuk suatu hari bersalin secara normal.
Begitu pun atas nasihat doktor, dia terpaksa melupakan hasrat tersebut kerana disebabkan masalah itu dia disaran hanya mempunyai cahaya mata seramai empat orang sahaja.
Kini menjadi impiannya bersama suami untuk mendapat anak perempuan memandangkan ketiga-tiga anaknya sebelum ini adalah lelaki.
Berbicara seketika pengalamannya ketika berpantang, menurut Norliza, dia mengamalkan pantang secara tradisional dan juga moden.
Dijaga sepenuhnya oleh ibu mertua ketika berpantang, Norliza juga bernasib baik kerana suaminya seorang yang memahami dan ringan tulang membantu mengurus rumah tangga.
Suasana kerjanya yang sentiasa sibuk menyebabkan dia memang mengharapkan pertolongan suami untuk sama-sama menjaga dan mendidik anak terutama ketika dia bertugas awal pagi ataupun mempunyai tugasan luar.
Anak kelapan daripada sembilan beradik ini juga amat bersyukur kerana selain keluarga dan keluarga mertua, anak-anak turut memahami kerjayanya.
Justeru sebagi balasan, masa terluang dan hari cuti yang ada dihabiskan sepenuhnya bersama suami dan anak-anak.
"Sudah pasti masa yang terluang akan diisikan dengan anak-anak, sama ada bawa mereka berjalan atau bercuti,'' katanya mengakhiri perbualan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: