
TIDAK dinafikan, keserasian di antara penyanyi Black dengan grup Meet Uncle Hussain nampak berjalan lancar. Malah Black dapat menyanyikan lagu-lagu MUH dengan baik dan tersendiri.
Ramai juga yang menyokong apabila Black dijemput menjadi penyanyi undangan kumpulan yang masih belum mempunyai vokalis yang sah ini selepas Lan meninggalkan MUH dan menubuhkan Azlan and The Typewriter.
Kemudian muncul pula Hazama yang turut menjadi penyanyi bagi kumpulan yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu dengan lagu Lagu Untukmu ini.
Kemunculan Hazama mulanya nampak canggung maklumlah perkenalannya dengan topeng dan identitinya dirahsiakan. Vokalnya juga agak perlu pengasahan yang ekstra untuk tampil seiringan dengan MUH yang mempunyai reputasi yang baik dalam bermuzik.
Khabar terbaru yang sampai ke telinga Diva, MUH sedang mencari vokalis baru untuk grup mereka. Diva tertanya-tanya sudah tiada keserasiankah antara mereka dengan Black mahupun Hazama? Ataupun MUH sedang mencari angin baru untuk kumpulan mereka?
Ada yang menyampaikan cerita kepada teman Diva yang anggota MUH sudah tidak sebulu dengan Black dan menganggap Black cuba over shadow mereka. Tetapi setahu Diva mereka ini nampak baik-baik sahaja dan senang bekerjasama antara satu sama lain.
Diva doakan agar MUH dapat bertemu apa yang mereka cari selama ini. Sayang jika tertangguh-tangguh kerana bagi Diva, grup ini mempunyai potensi dan bakat yang memang boleh pergi jauh. Malah lagu-lagu mereka juga mempunyai kualiti yang bagus.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: